saufi@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Pelaksanaan lesen untuk penyedia platform media sosial di negara ini bukan satu ‘sekatan suara maya’ tetapi satu peraturan untuk menyekat sebarang bentuk penularan berita palsu, ancaman penipuan dan ancaman ruang siber yang bersifat kompleks.
Langkah itu juga penting untuk menjaga keharmonian negara ini sekali gus setiap penyedia perkhidmatan media sosial turut bertanggungjawab menerusi kandungan mereka.
Untuk rekod, Malaysia mencatatkan kira-kira 28 juta pengguna media sosial pada Januari 2024 yang mewakili 83.1 peritus daripada jumlah penduduk negara.
Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 4.8 juta pengguna atau 20 peritus berbanding tahun sebelumnya.
Platform media sosial yang popular di negara ini termasuk YouTube, Facebook, Instagram dan TikTok.
Pelaksanaan lesen platform media sosial itu diumumkan kerajaan beberapa bulan lalu dan akan dilaksanakan bermula 1 Januari ini.
Melihat kepada keputusan kerajaan untuk melaksanakan lesen platform media sosial bermula 1 Januari 2025 ini, Pakar Kriminologi dan Timbalan Dekan (Ijazah Tinggi), Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya (UM), Dr Haezreena Begum Abdul Hamid berpendapat bahawa langkah itu sangat tepat pada waktunya.
“Pada masa ini, kita tidak ada sebarang sekatan terhadap sebarang berita yang keluar di media sosial, memang kita ada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan juga kanun keseksaan, tetapi daripada sudut muat naik material, bahan yang keluar di media sosial, ini adalah suatu yang tidak ada sekatan langsung.
“Jadi, kelompongan ini dimanipulasi oleh orang tertentu yang mengambil kesempatan dengan melakukan jenayah menerusi platform media sosial.
“Contohnya, kita ambil banyak kes penipuan dalam talian, selepas itu banyak berita tidak benar atau palsu yang berlegar di media sosial tanpa sebarang pengawasan atau tindakan,” katanya.
Lebih buruk, katanya, ada pihak yang menggunakan teknologi seperti deep fake atau deep images, menyamar orang lain dan ini terbukti apabila ia digunakan untuk menyerupai Datuk Seri Siti Nurhaliza (Siti Nurhaliza Tarudin) dalam penipuan termasuk tokoh-tokoh lain yang mungkin berisiko untuk digunakan pihak tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata, pelaksanaan lesen platform media sosial ini juga dapat membantu mengawal sebarang tindakan jenayah khususnya terhadap kanak-kanak dan sekarang kita masih bergantung anyak kepada akta komunikasi (Akta Komunikasi dan Multimedia 1998) sedia ada.
“Daripada sudut media sosial itu sendiri, tidak ada apa-apa perundangan atau larangan, kita bergantung kepada penyedia platform itu saja dan ia jelas tidak mencukupi untuk menjaga keharmonian serta kedaulatan negara ini.
“Semuanya bergantung kepada peraturan yang sudah ditetapkan oleh penyedia platform itu sendiri, contohnya, Meta ada perundangan serta terma sendiri.
“Mungkin langkah untuk melaksanakan lesen penyedia platform ini tidak digemari oleh beberapa pihak khususnya penyedia kandungan kerana akan membataskan kawalan mereka,” katanya.
Pada masa sama, Haezreena Begum percaya bahawa pelaksanaan lesen penyedia ini tidak menyekat kebebasan bersuara sebaliknya satu perundangan untuk mendepani jenayah siber yang semakin kompleks.
Menurutnya, penyedia platform juga turut bersama-sama bertanggungjawab dalam melakukan pemantauan terhadap kandungan yang terpapar dalam platform mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




