‘Bukan selamanya undi orang Cina kepada DAP’

MUKADIMAH

Naib Presiden MCA, DATUK IR. LAWRENCE LOW AH KEONG menegaskan sokongan pengundi Cina tidak boleh dianggap kekal kepada parti tertentu, sebaliknya bergantung janji yang ditunaikan dan kemampuan sesebuah parti memahami kehendak rakyat.

Bagi Pengerusi MCA Selangor itu, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) memberi isyarat bahawa rakyat semakin matang menilai prestasi parti, calon berwibawa dan tawaran politik yang lebih realistik

Menerusi wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL dibantu jurufoto, FAUZI BAHARUDIN, Lawrence yakin momentum ‘gelombang biru’ akan terus merebak bukan sahaja hingga ke Selangor malah seluruh negara jika Barisan Nasional (BN) berjaya menawarkan kepimpinan yang dekat dengan rakyat serta mampu menangani isu ekonomi dan kos sara hidup.

MCA KERJA KERAS
MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana Datuk melihat setakat ini prestasi MCA dalam PRN di Johor dan Negeri Sembilan, adakah kemenangan di beberapa kerusi DAP menandakan sokongan rakyat terutama orang Cina sudah kembali kepada parti ini?
Saya rasa MCA memang kena kerja keras, kena usaha kuat lagi. Tidak dinafikan di sesetengah tempat terutama dekat bandar-bandar, sokongan orang Cina masih kepada DAP. Itu tidak dinafikan, tapi untuk terus mendapat sokongan itu, bagi saya ia bukan untuk selama-lamanya. Undi daripada kaum tertentu tidak akan menjadi hak kita untuk selama-lamanya.

Bagi MCA, kita bukan saja hendak undi daripada orang Cina, kita mahu undi daripada orang Melayu, India, Orang Asli, dan juga kaum lain.

Kita memang harap sokongan daripada pelbagai kaum dapat kembali kepada MCA dan Barisan Nasional (BN) dan kita mahu lihat, kita kembali mendapat keyakinan dan juga kepercayaan pengundi di bandar daripada semua kaum.

Sebab, sekarang rakyat sudah cukup matang, tahu menilai adakah sesebuah parti itu sama ada BN, PN ataupun PH, janji-janji ketika pilihan raya sebelum ini sama ada ia ditunaikan atau tidak.

Itu pun satu faktor utama rakyat membuat keputusan untuk memberi lebih undi kepada parti mana.

Seterusnya, faktor calon. Kita lihat calon itu sama ada dia ada turun padang berkhidmat di kawasan itu dan bukan hanya muncul pada saat akhir bila tibanya pilihan raya. Ini menjadi faktor penting.

TAWAR JANJI REALISTIK
Selain kerja keras, bagaimana MCA hendak pastikan undi orang Cina pergi kepada parti ini?
Bagi MCA dan BN, bila kita ada manifesto, kita mesti ada janji-janji realistik yang secara praktikal boleh ditunaikan. Jangan beri janji-janji bulan, bintang, selepas itu tidak dapat ditunaikan yang kemungkinan itu cuma satu janji-janji kosong sahaja.

Jadi, MCA selain kerja keras, kita lebih kena faham apa yang rakyat mahu. Sejak sekian lama ini, banyak permintaan, terutama untuk kaum Cina itu, janji telah dibuat DAP. Janji yang diberikan ini tidak berdasarkan kepada sama ada boleh capai atau tidak? Boleh ditunaikan tak? Logik atau tidak?

Kalau tidak logik, pastinya ia tidak akan dicapai. Jadi, masyarakat Cina sekarang sudah lebih faham dan lebih matang. Sesetengah janji itu, dia dengar saja, dia tahu itu hanyalah janji kosong.

GELOMBANG BIRU KE SELURUH NEGARA
Pandangan Datuk mengenai kerjasama dan persefahaman BN dan PN dalam PRN? Sesuatu yang baik untuk diteruskan hingga PRU16?
Persefahaman antara BN dan PN ini mempunyai sebab dan konteks yang tertentu, terutama penyusunan kerusi demi kestabilan politik, kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dan juga demi pentadbiran yang lebih baik.

Maka, realitinya tiada satu pihak yang boleh mengambil mudah ataupun satu blok yang boleh membentuk kerajaan sendiri.

Bagi saya, apa jua bentuk kerjasama politik mesti akhirnya membawa kepada kestabilan, kesejahteraan rakyat dan pentadbiran yang baik.

Sebagai sebahagian daripada BN, sudah tentu kita berharap gelombang biru ini dapat kembali dengan lebih kuat dan mendapat sokongan daripada rakyat. Kita berharap sokongan ini bukan sahaja di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka, tetapi seterusnya berkembang ke seluruh negara.

Namun, bagi saya, berdasarkan perkembangan sekarang, rakyat bukan sahaja memilih parti, tetapi prestasi calon juga sangat penting.

Apa yang saya lihat, calon-calon MCA yang menang dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan bukanlah calon yang baru muncul ketika pilihan raya. Mereka sudah lama berkhidmat, dan rakyat di kawasan masing-masing sudah mengenali mereka.

Jadi, calon mesti mempunyai rekod kerja, sentiasa mendekati rakyat, mempunyai hati yang dekat dengan masyarakat serta menghormati kepentingan semua kaum.

Ada ahli Pemuda MCA yang tidak bersetuju dengan kerjasama BN-PN ini, adakah ini boleh menimbulkan sesuatu yang tidak sihat dalam parti?
Dalam mana-mana organisasi, ya, memang kita akan ada pandangan yang berbeza, suara yang berlainan. Ia bukan sesuatu yang baru, tetapi satu perkara biasalah di mana-mana. Kita nampak, sebaliknya, perbezaan pandangan itu boleh menjadi sesuatu yang sihat dan boleh menunjukkan bahawa ahli kita berani bersuara dan mengambil berat tentang masa depan parti dan juga suara rakyat.

Kita mesti mempunyai ruang untuk berdialog dan mendengar semua pandangan, termasuk juga suara-suara yang ada pandangan yang berlainan. Tetapi selepas perbincangan dan keputusan dibuat, maka kita perlu mengikut secara kolektif.

Jadi dalam organisasi, keputusan akhir perlu dihormati dan pada masa sama kepimpinan perlu mengambil kira pandangan akar umbi dan mencari jalan terbaik untuk parti, rakyat dan negara secara seimbang, sebab negara kita berbilang kaum, masyarakat majmuk.

Maka, apabila kita lihat sesuatu perkara atau isu itu, tidak boleh dilihat dari satu sudut sahaja.

Kemungkinan persefahaman antara BN dan PN bagi menghadapi PRN Melaka, bagaimana Datuk melihat isu pembahagian kerusi yang timbul?
Saya melihat perkara ini masih dalam proses perbincangan antara pucuk pimpinan. Saya percaya pucuk pimpinan mempunyai kebijaksanaan dan kemampuan untuk menguruskan isu pembahagian kerusi itu dengan sebaiknya.

Dalam menentukan pembahagian kerusi, kita bukan hanya perlu melihat kepentingan di Melaka sahaja, tetapi perlu mengambil kira kedudukan dan kepentingan di negeri-negeri lain secara keseluruhan.

Pada masa sama, kita juga perlu melihat perkara ini dalam konteks Pilihan Raya Umum (PRU) secara menyeluruh.

Oleh itu, sebarang keputusan mengenai pembahagian kerusi perlu mengambil kira kepentingan yang lebih besar, iaitu membentuk sebuah kerajaan yang stabil, berkesan dan mampu memberikan yang terbaik kepada rakyat.

SIKAP DUA MUKA DAN ‘PILIH BULU’
Pandangan Datuk apabila PH melabel BN dan PN menggunakan politik identiti atau politik perkauman untuk menang PRN Negeri Sembilan?
Bagi saya kita kena lihat perkara ini secara adil dan konsisten. Bila PH atau DAP khususnya mahukan sokongan dan undi orang Cina mereka seru sepenuhnya orang Cina bersatu padu hingga berani sebut 95 peratus akan memberi sokongan kepada mereka tetapi apabila mereka mahu mendapat sokongan orang Melayu mereka pula mengatakan bahawa mereka tidak mahu dilabelkan sebagai parti Cina.

Jadi, kita nampak DAP di hadapan orang Cina ceritanya lain dan bila pergi kepada kaum lain, ceritanya lain pula. Ini bagi kita, mereka (DAP) macam ada dua mukalah. Maka persoalannya, mengapa mereka apabila menggesa orang Cina untuk all in ini bukan politik identiti atau politik perkaumankah?

Ini jadi macam sikap ‘pilih bulu’ (double standard), bila orang Melayu bersatu padu, mereka kata ini politik identiti, politik perkauman, jadi bagi saya ini tidak adil.

Pada saya apa yang berlaku antara BN dan PN di PRN Negeri Sembilan adalah satu persefahaman strategik, menerusi penyusunan kerusi dan kita pastikan tidak ada satu pihak mendominasi secara bersendirian.

Saya rasa rakyat sekarang cukup matang dan pandai untuk menilai perkara ini. Mereka (PH dan DAP) jangan tuding jari kepada orang lain, tanya diri sendiri siapa sebenarnya yang memainkan politik identiti dan politik perkauman.

TEWASNYA SETIAUSAHA AGUNG
Kita melihat kekalahan Anthony Loke di Chennah, yang merupakan Setiausaha Agung DAP dan seorang pemimpin berprofil tinggi. Adakah keputusan ini boleh dianggap sebagai tanda bahawa sokongan terhadap DAP sebenarnya sudah mula goyah?
Ya, DAP sudah mula goyah dan ini tamparan kepada mereka. Keputusan tersebut boleh dilihat sebagai satu bentuk isyarat daripada rakyat bahawa sokongan terhadap DAP dan PH tidak lagi boleh dianggap sebagai sesuatu yang kukuh.

Rakyat sebenarnya sedang memberikan signal supaya kerajaan dan parti-parti yang memerintah melakukan sesuatu untuk memperbaiki prestasi mereka.

Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, terdapat persepsi dalam kalangan rakyat bahawa sebahagian daripada prestasi dan janji yang diberikan masih belum dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Rakyat juga semakin matang dalam membuat penilaian. Apabila mereka merasakan sesuatu perubahan tidak dilakukan, mereka tidak teragak-agak untuk memberikan sokongan kepada pihak lain.

Kita dapat melihat perkara yang sama berlaku di Johor. Prestasi BN di bawah pimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi dilihat mendapat sokongan rakyat sehingga BN memperoleh mandat yang lebih besar berbanding sebelumnya.

Perkembangan ini menunjukkan rakyat akan memberikan peluang kepada sesebuah kerajaan membuktikan prestasi dan menunaikan janji yang dibuat. Namun, sekiranya prestasi tidak memenuhi harapan, rakyat tidak teragak-agak untuk menukar sokongan.

TINDAKAN TAK BERTANGGUNGJAWAB
Pimpinan DAP menyerahkan kepada perwakilan untuk mengundi pada kongres parti sama ada mahu pemimpin kekal atau keluar daripada Kerajaan Perpaduan. Pada pandangan Datuk, apa sebenarnya cuba disampaikan DAP ini?

Apabila rakyat memberi mandat kepada DAP dan mereka diberikan kedudukan dalam kerajaan sebagai menteri, timbalan menteri serta Exco, inilah peluang untuk mereka menunaikan janji-janji yang telah dibuat.

Jika ada polisi, dasar atau sistem yang tidak memberi manfaat kepada rakyat dan negara, mereka sepatutnya menggunakan kedudukan yang ada untuk membetulkannya dari dalam kerajaan.

Bagi saya adalah sangat tidak bertanggungjawab apabila mereka sudah mendapat sokongan dan mandat yang cukup besar daripada rakyat, tetapi apabila berdepan kelemahan dalam kerajaan, mereka memilih untuk keluar.

Selama ini mereka selalu melaungkan soal antirasuah, demokrasi, ketelusan dan pentadbiran yang lebih sistematik. Jadi, selepas lebih tiga tahun berada dalam kerajaan, kita perlu lihat apa yang telah mereka lakukan.

Keputusan pilihan raya di Johor, Negeri Sembilan dan Sabah juga satu isyarat yang jelas daripada rakyat. Janji-janji yang dibuat perlu ditunaikan dan mereka sebenarnya mempunyai cukup peluang serta kedudukan dalam kerajaan untuk melakukan pembetulan, termasuk terhadap undang-undang dan sistem pentadbiran.

Sama ada keputusan untuk kekal atau keluar daripada kerajaan, bagi saya tidak sepatutnya menjadi persoalan utama. Sepatutnya mereka melakukan lebih banyak pembaikan dan meningkatkan sistem yang mereka sendiri rasakan tidak cukup baik. Bukannya apabila merasakan kerajaan gagal atau sokongan rakyat semakin berkurangan, timbul soal untuk keluar daripada kerajaan.

Ini juga memberi gambaran kepada rakyat bahawa mereka mungkin lebih sesuai menjadi pembangkang. Ketika menjadi pembangkang, mereka lantang bersuara dalam apa-apa isu yang tidak memberi kepentingan kepada rakyat. Tetapi apabila menjadi kerajaan, rakyat melihat mereka seolah-olah lebih diam.

Rakyat sekarang cukup matang dan mereka tahu menilai. Kalau ada janji yang tidak praktikal atau tidak mungkin dilaksanakan, mereka tidak akan percaya lagi.

Jika mereka tidak boleh menunaikan janji atau melihat kelemahan dalam kerajaan tetapi memilih untuk menyerahkan tanggungjawab itu kepada perwakilan, bagi saya itu adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

MCA SASAR TANDING LAPAN KERUSI PARLIMEN SELANGOR
Sebagai Pengerusi MCA Selangor, bagaimana Datuk melihat peluang BN dan MCA di negeri ini untuk menghadapi PRN dan PRU akan datang?
Kita masih mempunyai kerusi-kerusi tradisi untuk BN dan MCA, tetapi kita perlu membuat penilaian secara menyeluruh. Untuk sasaran awal mungkin kita tanding lapan kerusi Parlimen di Selangor.

Kali ini, saya menyeru sokongan rakyat, khususnya rakyat Selangor, supaya memberi ruang dan peluang kepada kita. Kita kena ada suara yang berlainan. Kita tidak boleh “put all the eggs into one basket” atau meletakkan semuanya kepada satu parti sahaja.

Apabila sesuatu kaum berdepan dengan isu-isu tertentu, kita perlu memastikan ada wakil rakyat dalam dewan yang boleh membawa suara yang berbeza. Jika semuanya hanya satu suara, beberapa polisi dan dasar mungkin akan didominasi oleh satu pihak sahaja.

Kita dapat melihat keadaan ini berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Bagi rakyat, khususnya di kawasan bandar dan Lembah Klang, termasuk Selangor, mereka kini semakin mahukan suara yang berbeza.

Apa-apa isu atau masalah juga boleh diketahui dengan cepat melalui media sosial, TikTok dan sebagainya. Dunia sudah berubah. Sekarang kita berada dalam zaman AI dan semuanya perlu dilakukan secara lebih sistematik, telus dan inklusif.

Saya berharap MCA dan BN kali ini di Selangor dapat memperoleh mandat serta sokongan rakyat yang lebih baik berbanding sebelum ini.

GELOMBANG BIRU, GELOMBANG RAKYAT
Boleh dikatakan momentum atau gelombang biru itu mampu sampai ke Selangor?
Harap-harap begitu. Bagi saya, gelombang biru sebenarnya adalah gelombang rakyat. Ia bergantung kepada apa yang rakyat mahukan.

Rakyat bukan hanya mahu mendengar janji atau apa yang disebut oleh sesebuah parti. Mereka akan menilai berdasarkan prestasi dan apa yang mereka lihat sendiri. Apabila rakyat merasakan, “I have to give a chance,” maka gelombang itu akan datang dan mereka akan membuat keputusan.

Kita pernah melihat perkara yang sama sebelum ini. Pada 2018, kita dapat melihat perubahan gelombang berdasarkan permintaan dan kehendak rakyat pada ketika itu. Rakyat membuat penilaian dan keputusan yang berani.

Jadi, selepas lapan tahun dari 2018 hingga 2026, kita perlu melihat semula prestasi dari segi ekonomi, peluang pekerjaan dan kos sara hidup.

Daripada segi ekonomi, kita juga melihat pelbagai perkembangan, tetapi pada masa yang sama harga barang semakin meningkat. Ini yang dirasai oleh rakyat.
Bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta sektor industri, mereka pula berdepan dengan pelbagai cabaran. Ada pelaksanaan sistem e-invois dan pelbagai keperluan baharu yang kadangkala bukan membantu mereka, malah menambahkan beban. Lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi dunia yang semakin mencabar.

Sepatutnya kerajaan memperkenalkan polisi dan dasar yang dapat membantu khususnya perusahaan kecil serta sederhana. Namun, jika terlalu banyak polisi dan dasar yang menambahkan kos operasi, ia akan menyusahkan mereka yang sememangnya sudah berdepan dengan cabaran perniagaan.

Apabila kos meningkat, harga barang dan perkhidmatan juga akan meningkat. Akhirnya, siapa yang akan menanggung kesannya? Pengguna. Kita semua adalah pengguna. Kita yang membeli perkhidmatan dan kita juga yang membeli barangan. – Mingguan Malaysia 

Scroll to Top