Musibah dalam konteks kehidupan manusia adalah suatu ketentuan yang tidak dapat dielakkan. Ia hadir dalam pelbagai bentuk seperti penyakit, kehilangan orang tersayang, bencana alam, kegagalan atau tekanan emosi. Ramai yang sering mengaitkan musibah dengan balasan atau hukuman daripada Allah SWT seolah-olah setiap dugaan yang menimpa adalah tanda kesalahan dilakukan. Walhal, Islam menggariskan bahawa musibah bukan sekadar balasan, namun ia mempunyai hikmah, tujuan, dan fungsi yang lebih mendalam dalam pembentukan jiwa manusia. Memahami hakikat ini sangat penting supaya masyarakat tidak terjebak dalam salah sangka terhadap Allah SWT dan tidak saling menuduh sesama manusia apabila ditimpa ujian.
Ujian keimanan bukan semata-mata hukuman
Musibah dalam Islam sering disebut sebagai ujian iman, bukan hukuman mutlak. Al-Quran secara jelas menegaskan kehidupan ini adalah medan ujian. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan; dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang yang sabar”.
Ayat ini menjelaskan ujian adalah sunnatullah yang pasti berlaku sebagai bentuk tarbiah Ilahi terhadap hamba-Nya. Musibah bukan tanda Allah membenci hamba-Nya, tetapi ia jalan untuk menguji tahap kesabaran, kebergantungan, dan ketakwaan seseorang. Sesungguhnya, insan yang diuji lebih dekat kepada rahmat Allah apabila dia sabar dan reda terhadap ketentuan-Nya.
Penyucian jiwa
Musibah juga berfungsi sebagai penyucian jiwa dan penghapus dosa. Dalam hadis sahih Riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda bahawa tiada satu musibah pun yang menimpa seorang Muslim walaupun sekadar duri yang mencucuknya melainkan Allah menghapuskan dosanya. Ini menunjukkan musibah bukan semata-mata balasan berbentuk hukuman, tetapi rahmat menyucikan jiwa daripada dosa kecil yang mungkin dilakukan tanpa disedari. Dalam perspektif ini, musibah sebenarnya tanda kasih sayang Allah SWT terhadap hamba-Nya. Allah ingin hamba-Nya kembali kepada-Nya dalam keadaan bersih daripada dosa, dan antara caranya adalah dengan membiarkan dia melalui ujian tertentu yang meningkatkan keinsafan serta ketundukan kepada-Nya.
Meningkat darjat dan kemuliaan insan
Musibah hadir untuk meningkatkan darjat dan kemuliaan seseorang di sisi Allah. Ujian berat sering dialami oleh nabi, rasul, dan orang beriman yang memiliki kedudukan tinggi. Nabi Ayub AS misalnya, diuji dengan penyakit yang berat dan kehilangan harta serta keluarga, namun baginda tetap bersabar dan bersyukur. Ujian tersebut bukan hukuman, sebaliknya ia menzahirkan keteguhan iman baginda seterusnya meninggikan darjatnya di sisi Allah SWT.
Hadis Riwayat Tirmizi menyebut seseorang yang paling berat ujiannya ialah para nabi, kemudian diikuti orang yang paling dekat mengikuti jejak mereka. Ini menunjukkan bahawa musibah bukan semata-mata ukuran kesalahan, tetapi ukuran kekuatan iman dan potensi seseorang untuk mencapai maqam yang lebih tinggi di sisi Tuhan.
Pendidikan dan peringatan
Selain itu, musibah juga menjadi peringatan dan pendidikan (tarbiah). Dalam banyak keadaan, manusia sering alpa dan terlalu selesa dengan nikmat yang dimiliki. Musibah hadir untuk menyedarkan manusia agar kembali kepada jalan yang benar, memperbaiki hubungan dengan Allah serta menilai kembali gaya hidup dan pilihan yang dibuat. Misalnya, seseorang yang ditimpa penyakit mungkin akan lebih berhati-hati dalam menjaga kesihatan, memperbanyak doa dan ibadah, serta menginsafi betapa lemahnya dia di hadapan Tuhan. Dalam hal ini, musibah bertindak sebagai isyarat lembut agar manusia tidak terus hanyut dalam kelalaian. Allah SWT tidak menurunkan ujian tanpa sebab; setiap musibah pasti ada hikmah yang membantu manusia memperbaiki diri.
Musibah juga menzahirkan kebergantungan manusia kepada Allah SWT. Dalam keadaan senang, manusia mudah berasa sombong dan berasakan bahawa kejayaan berpunca daripada usaha diri semata-mata. Namun, apabila ditimpa musibah, manusia menyedari hakikat segala urusan hidup berada dalam genggaman Allah SWT.
Musibah melatih hati untuk bergantung sepenuhnya kepada Allah, mengukuhkan tawakal serta mendidik manusia agar tidak terlalu bergantung kepada makhluk. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Insyirah bahawa setiap kesulitan pasti disertai kemudahan. Ayat ini mengajar bahawa musibah tidak kekal, dan Allah sentiasa menyediakan jalan keluar bagi orang yang bersabar dan bertawakal.
Memperkukuh nilai kemanusiaan
Seterusnya, musibah memperkukuhkan nilai kemanusiaan dan solidariti sosial. Ketika masyarakat melihat orang lain ditimpa musibah, mereka terdorong untuk membantu, bersimpati, dan menunjukkan rasa empati. Ini memperkuatkan hubungan sosial dan memupuk rasa ukhuwah. Dalam konteks masyarakat moden yang semakin individualistik, musibah kadangkala menjadi titik penyatuan yang menghidupkan kembali nilai kasih sayang dan kepedulian. Keprihatinan masyarakat setelah berlaku bencana alam, misalnya, membuktikan musibah mampu menzahirkan sifat terbaik dalam diri manusia.
Selain itu, musibah mengajar manusia mengurus emosi dan menguatkan ketahanan mental. Dalam perjalanan hidup, keteguhan jiwa merupakan aset penting untuk menghadapi cabaran masa hadapan. Manusia yang tidak pernah melalui musibah cenderung lebih rapuh apabila diuji pada kemudian hari. Sebaliknya, mereka yang berpengalaman mengatasi kesukaran dengan sabar dan tabah akan lebih matang, bijak, dan tenang dalam menghadapi segala kemungkinan. Musibah, dalam hal ini, ibarat latihan jiwa yang menjadikan seseorang lebih kuat dan berdaya tahan.
Bagaimanapun, penting difahami walaupun musibah mempunyai hikmah, tidak wajar bagi manusia menghukum orang lain dengan mengatakan musibah mereka adalah balasan atas dosa tertentu. Penilaian seperti ini bukan sahaja tidak berasas, malah dilarang dalam Islam. Seseorang tidak mengetahui hikmah di sebalik ujian yang diturunkan kepada orang lain. Apa yang dituntut ialah doa, sokongan, dan bantuan, bukannya menghukum atau menyebarkan prasangka. Allah SWT sahaja yang mengetahui sebab musibah menimpa seseorang. Oleh itu, umat Islam perlu menjauhi sikap mudah menuduh dan menilai musibah melalui perspektif negatif.
Kesimpulannya, musibah bukan semata-mata balasan atau hukuman daripada Allah SWT. Ia membawa pelbagai hikmah dan peranan menguji iman, menyucikan jiwa, mengangkat darjat, memberi pendidikan, menguatkan jiwa, membina solidariti sosial serta mengingatkan manusia tentang hakikat kehidupan. Pemahaman yang tepat terhadap musibah membantu manusia menerima ujian dengan hati yang tenang, menghapuskan prasangka buruk kepada Allah, dan mengelakkan sikap menuduh sesama manusia. Musibah adalah sebahagian daripada kasih sayang dan tarbiah Ilahi agar manusia menjadi lebih dekat kepada-Nya.
Dengan kefahaman ini, umat Islam akan lebih bersedia mendepani apa jua cabaran kehidupan dengan sabar, reda, dan penuh kebergantungan kepada Allah SWT.
Penulis Pensyarah Kanan UNISEL dan Timbalan Presiden Wadah
© New Straits Times Press (M) Bhd




