Pelakon terkenal, Datin Intan Najuwa tampil menyuarakan pandangan peribadinya berhubung isu suami sebagai ‘provider’ yang hangat diperdebatkan di media sosial ketika ini.
Menerusi satu hantaran di platform Threads, Intan berkongsi bahawa sebelum mendirikan rumah tangga, dia dan suami, Datuk Ahmad Azraf Azman, telah berbincang secara mendalam mengenai hala tuju kehidupan mereka sebagai pasangan, termasuk soal peranan dalam membesarkan anak-anak kelak.
“Kebelakangan ini terlalu banyak perbincangan tentang peranan suami sebagai ‘provider’. Sebelum kami berkahwin, saya dan suami sememangnya telah duduk berbincang bagaimana kami ingin menguruskan kehidupan bersama.
“Kami bincangkan tentang masa depan, pendekatan keibubapaan dan cara terbaik untuk membesarkan anak-anak nanti,” katanya.
Mengulas lanjut, Intan menegaskan asas sesebuah perkahwinan bukanlah semata-mata siapa yang mampu menyediakan keperluan di atas meja, sebaliknya lebih kepada nilai saling menghormati dan menyokong satu sama lain dalam membina kehidupan bersama.
“Saya memang jenis yang suka merancang ke hadapan. Bagi saya, ia bukan sekadar tentang cincin atau majlis perkahwinan, tetapi bagaimana kita mahu jalani hidup bersama dengan penuh rasa hormat dan kasih sayang.
“Kami masing-masing sudah memiliki kerjaya dan empayar sendiri sebelum berkahwin. Jadi, soal siapa ‘bawa apa ke meja’ itu bukan keutamaan. Yang penting, kami sekufu dari segi pemikiran dan sehaluan dalam membina keluarga,” jelasnya.
Sekadar info, Intan dan suaminya, Datuk Ahmad Asraf Azman berkahwin pada Ogos 2023 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang anak perempuan Imane Lunara.