norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jodoh, pertemuan ketentuan Yang Esa. Sebagai manusia biasa, siapa yang tidak menginginkan mempunyai pasangan hidup dan berkeluarga, tetapi semuanya bergantung pada rezeki.
Enggan terlalu memikirkan kehadiran jodoh, kehidupan perlu diteruskan seperti biasa, malah kehidupan bersendirian pun ada keseronokannya.
Tiada pasangan hidup juga tidak menghalang untuk menikmati bahagia. Ditambah lagi, bagi golongan wanita bekerjaya yang rutin harian tetap sibuk dan masa diisi dengan pelbagai aktiviti.
Apa yang penting bagaimana seseorang wanita itu menjalaninya terutama apabila asyik berhadapan dengan pertanyaan ‘klise’, bila nak kahwin?
Menyoroti kisah jodoh yang ‘lewat’ ini, ikuti pandangan beberapa selebriti iaitu Datuk Syafinaz Selamat, Zara Zya, Sherry Alhadad dan Nasha Aziz mengenai bahagia hidup bersendiri.
Syafinaz akui selesa hidup solo
Bagi penyanyi, jurulatih vokal, konduktor koir, pengarah muzik dan juri profesional, Datuk Syafinaz Selamat, 53, beliau tidak menafikan berasa bosan apabila ditanya soal jodoh.
Katanya, dari awal pembabitan sebagai artis, pertanyaan itu tidak pernah berhenti dihadapinya, walaupun urusan jodoh adalah kerja Tuhan.
“Sudah bosan dengan soalan itu (jodoh). Daripada saya mula (dalam karier seni) sampai sekarang, soalan yang sama.
“Misalkan saya kata yang saya tak boleh buat kerja Tuhan. Kalau Tuhan kata ada (jodoh) maka ada, tapi kalau tak ada pun saya terima.
“Bagaimanapun, hidup bersendiri juga seronok. Malah untuk saya sendiri, saya rasa selesa. Saya sangat selesa dengan kehidupan saya sekarang.
“Saya bertanggungjawab atas diri saya sendiri dan berdasarkan kehidupan saya serta kerja saya, memang saya rasa sangat selesa untuk saya fokus bersendiri.
“Bukan saya tak nak (berkahwin), bukan saya menolak, tapi saya juga tidak mencari. Kalau ada datang yang baik (jodoh) saya terima, tapi kalau tak ada, tak adalah,” katanya.
Menurut Syafinaz, kebahagiaan itu berbeza antara seorang manusia dengan manusia yang lain. Setiap orang boleh mencari kebahagiaan sendiri mengikut cara masing-masing.
Katanya, maka tidak perlu memikirkan apa masalah yang dihadapi orang lain termasuk apabila ada pasangan, sebaliknya lebih baik memberi fokus kepada diri sendiri.
Zara Zya tak anggap kekurangan
Pelakon drama popular, Zara Zya, 41, menyifatkan dirinya sudah matang untuk menghadapi apa sahaja pertanyaan berkaitan jodoh yang sebelum ini pernah membuatnya berasa rimas.
Pemilik nama sebenar Zainurul Razia Mohd Zainuddin ini berkata, baginya soal jodoh bukanlah sesuatu yang boleh dipaksa atau dijadikan ukuran untuk menilai diri seseorang.
“Sejujurnya, dulu mungkin saya ada rasa rimas sedikit. Tapi bila umur makin matang, saya sedar soalan itu selalunya datang daripada rasa ambil berat dan bukan niat untuk menekan.
“Saya belajar untuk terima dengan tenang. Jodoh bukan sesuatu yang boleh dipaksa atau dijadikan ukuran nilai diri. Setiap orang ada perjalanan hidup masing-masing dan saya percaya waktu Allah itu sentiasa tepat,” katanya.
Ditanya pendapatnya terhadap keseronokan hidup membujang, Zara berkata, tidak berkahwin bukan satu kekurangan kerana fasa bersendiri ini memberi ruang untuk menstabilkan emosi dan mengejar impian.
“Saya setuju apabila wanita hidup membujang dilihat bukan satu kekurangan, tetapi fasa untuk kenal diri sendiri, bina kestabilan emosi, kejar impian dan hidup dengan lebih bebas tanpa perlu bergantung pada sesiapa.
“Kebahagiaan bukan hanya datang daripada pasangan, tetapi daripada rasa cukup dengan diri sendiri.
“Kalau jodoh hadir, saya terima dengan syukur dan kalau belum, saya tetap bahagia dengan cara saya sebab hidup ini lebih luas daripada satu status saja,” katanya.
Mengulas label ‘andartu’ oleh segelintir masyarakat, Zara memaklumkan gelaran itu sudah tidak relevan kerana tidak berkahwin bukan bermaksud wanita gagal dan berkahwin pula bukan jaminan bahagia.
Kata pelakon drama Sumpah Ibuku ini, nilai seseorang terletak pada cara dia menjalani kehidupan dan bukan statusnya.
Sherry berbakti pada ibu
Sebagai wanita, impian perkahwinan tetap ada, namun pelakon dan pengacara, Sherry Alhadad, 42, mengambil pendekatan terbuka untuk menjawab soal jodoh yang ditanyakan kepadanya.
“Saya nak kahwin. Cita-cita saya masa ‘form 5’ dulu bila orang tanya tahun 2020, awak nampak apa? Saya cakap, mungkin sudah kahwin dan ada anak. Tapi, itulah kita hanya boleh bermimpi dan angan-angan.
“Jodoh itu ketentuan Tuhan. Sekarang saya masih ‘single’ (solo). Mungkin juga saya ini dilihat macam ‘dominan’, jadi orang (lelaki) takut nak mendekati. Malah, saya pun jenis suka bergurau dan tak nampak serius.
“Apapun, saya tak tersinggung langsung kalau ditanya bila nak kahwin? Bagi saya, pertanyaan itu hanya untuk berbual kosong dan orang ingin tahu,” katanya.
Menyentuh pandangan terhadap hidup membujang, pengacara Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) ini memaklumkan ibunya seperti gembira apabila dia tidak berkahwin.
“Keluarga saya dan emak saya pun okey. Sebenarnya emak saya pun macam ‘happy’ saya tak kahwin lagi. Sebab, saya macam 24 jam akan ada dengan dia.
“Bahkan, ia juga menjadikan saya ada peluang untuk terus berbakti kepada emak saya. Alhamdulillah, itu pun buat saya sangat bersyukur,” katanya.
Nasha berdamai dengan takdir
Meskipun kini melewati usia 50-an, pelakon filem Kad Cinta dan Bara, Nasha Aziz mengakui tidak berasa tekanan berhubung soal jodoh kerana percaya kepada aturan Allah.
Pemilik nama sebenar, Noraishah Abdul Aziz, 55, ini juga mengambil pendekatan berdamai dengan takdir walaupun suka melihat pasangan yang hidup bahagia.
“Saya tiada tekanan dalam perkara ini (jodoh). Kadang-kadang, saya sendiri seronok tengok pasangan bahagia. Saya suka ambil aura itu untuk diperhati dan serapkan pada diri.
“Selain itu, saya suka berdamai dengan takdir. Kita tahu Allah yang berkuasa terhadap segala-galanya. Saya dapat rasai cahaya keindahan itu,” katanya.
Mengulas peneman dirinya yang solo, Nasha berkata, dia masih berduka atas kehilangan ibu tercinta pada Mac tahun lalu dan memerlukan masa untuk bertenang serta memulih emosi.
“Buat masa ini, saya pilih perlahankan karier seni selepas melalui fasa sukar dalam kehidupan peribadi apabila kehilangan ibu tercinta saya.
“Tapi, saya tetap nak berlakon balik. Cuma sekarang, saya masih dalam fasa ‘cooling session’ selepas ibu meninggal dunia pada tahun lalu.
“Ramai yang dekat dengan saya sudah pergi. Jadi, saya perlu ambil masa untuk bertenang dulu, stabilkan emosi,” katanya.
Katanya, keputusan dibuatnya untuk berehat seketika bukan disebabkan tiada tawaran berlakon, tetapi kebanyakan watak diterima memerlukan komitmen emosi yang sangat berat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




