Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (YDP MPP) UiTM, Nik Alif Aiman Abdul Ariffahmi, 23 tampil meluahkan rasa kesal dan kecewa selepas mendakwa ditampar oleh seorang senator dalam satu program di Janda Baik, Bentong, Pahang baru-baru ini.
Menerusi kenyataan media yang dikongsikan, Nik Alif mendakwa insiden itu berlaku selepas tamat Program Pemerkasaan Bangsa 2.0 apabila beliau berinteraksi dengan YB Senator Dato’ Azhar Ahmad dalam suasana yang pada awalnya berjalan baik.
Dakwa ditampar di bahagian kiri
Menurutnya, perbualan yang menyentuh isu politik kemudiannya bertukar menjadi satu insiden yang tidak sepatutnya berlaku apabila beliau didakwa ditampar di bahagian muka di hadapan beberapa saksi.
“Dalam suasana yang pada awalnya berlangsung secara baik. Namun, perbualan yang menyentuh isu politik kemudiannya bertukar menjadi satu insiden yang tidak sepatutnya berlaku apabila saya telah ditampar pada bahagian muka di hadapan beberapa saksi yang berada berhampiran lokasi kejadian.” ujarnya.

Anggap tindakan sentuh maruah keluarga
Apa yang lebih menyentuh perhatian ramai bukan sekadar dakwaan insiden tersebut, tetapi luahan Nik Alif yang menyifatkan perkara itu turut melibatkan maruah keluarganya.
Sebagai cucu kepada tokoh ulama dan bekas Menteri Besar Kelantan itu, beliau berkata tindakan berkenaan bukan sahaja menjatuhkan maruah dirinya sebagai mahasiswa dan pemimpin pelajar, malah memberi kesan emosi yang mendalam kerana berlaku di hadapan orang ramai.
“Sebagai cucu kepada Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, saya turut merasakan bahawa insiden tersebut telah menyentuh maruah keluarga saya yang selama ini dikenali dengan nilai ilmu, adab dan penghormatan terhadap perbezaan pandangan.”

Sehubungan itu, Nik Alif menuntut agar YB Senator Dato’ Azhar Ahmad mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada dirinya dan keluarga sebagai tanda tanggungjawab terhadap tindakan yang didakwa berlaku.
“Sehubungan itu, saya menuntut agar YB Senator Dato’ Azhar Ahmad mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada saya dan keluarga saya atas tindakan tersebut.”
Beliau turut menegaskan bahawa isu tersebut bukan semata-mata berkaitan dirinya atau perbezaan pandangan politik, sebaliknya melibatkan soal penghormatan terhadap golongan mahasiswa yang berhak dilayan dengan adab, hormat dan kematangan.
Tuduhan ‘menampar’ keterlaluan
Walau bagaimanapun, Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Azhar Ahmad menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut dan menyatakan dakwaan ‘menampar’ satu perkara yang berlebihan kerana hakikatnya beliau hanya menyentuh pipi pemuda itu sebagai tanda kemesraan.

Beliau akui kesal apabila rakaman video tidak memaparkan keseluruhan konteks kejadian telah menimbulkan persepsi yang tidak tepat serta mencemarkan reputasi beliau serta menyeru semua pihak untuk meneliti fakta sebenar dan tidak menyebarkan dakwaan tak berasas.
Sumber: Instagram Nik Alif Aiman Abdul Ariffahmi




