KEPALA BATAS – Kementerian Pendidikan (KPM) menyangkal dakwaan Sekolah Menengah Chung Ling (Persendirian) menerima kunjungan tentera China ke sekolah berkenaan pada Sabtu lalu.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, lawatan melibatkan 165 pelajar dan pensyarah dari Naval University of China itu sebenarnya bagi program pertukaran kebudayaan serta sukan sempena hubungan diplomatik selama 50 tahun antara Malaysia-China.
“Pertama yang saya ingin betulkan ia (kunjungan) itu bukan kehadiran tentera sebaliknya pelajar universiti dan kenyataan (spekulasi tular) tidak sama sekali betul barangkali menimbulkan salah faham yang banyak dalam masyarakat.
“Program tersebut juga telah mendapat kebenaran daripada semua pihak autoriti terkait dan tidak timbul soal tentera China datang.
“Kita memberi perhatian penuh kepada isu ini untuk mengelakkan salah faham dan fitnah-fitnah yang berpanjangan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu Fadhlina merasmikan majlis Penutup Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan kali ke-62 di Bertam di sini.

Persidangan bertemakan ‘Pendidikan Manusiawi Memacu Pendidikan Negara Madani’ itu di dihadiri 674 pengetua seluruh negara.
Mengulas lanjut Fadhlina berkata, satu laporan polis telah dibuat oleh pihak sekolah susulan spekulasi berkaitan kunjungan tersebut.
“Laporan polis itu dibuat bagi mengelak salah faham dan fitnah berpajangan pihak tertentu berhubung kunjungan pelajar universiti (Naval University of China) ke sekolah berkenaan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
Adakah ketibaan kapal laut tentera China dirujuk Kementerian Luar, Kementerian Pertahanan? – Bersatu
Sabtu lalu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengumumkan kedatangan kira-kira 1,000 pelatih tentera laut China ke negeri itu menaiki dua kapal iaitu Kapal Latihan Qi Jiguang dan Kapal JinggangShan dari Zhanjiang untuk kunjungan silaturahim.
Pasukan tugas ke-83 Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) dan pelatihnya dibawa melawat beberapa tempat menarik di Pulau Pinang dan turut berkesempatan berinteraksi dengan penduduk tempatan ketika sesi lawatan berkenaan.
Bagaimanapun, lawatan itu mencetuskan kontroversi apabila kunjungan sebahagian daripada anggota tentera laut China berkenaan ke satu majlis di Sekolah Menengah Chung Ling (Persendirian) tular di beberapa platform sosial media. – MalaysiaGazette




