am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pelawak dan penyampai radio, Issey Fazlisham, 35, menafikan dia menunggang isu buli yang hangat diperkatakan ketika ini apabila tampil dengan teater yang mengangkat tema berkenaan.
Issey berkata, dia sekadar menggunakan peluang danĀ ruang yang ada untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai isu terbabit.
Katanya, pementasan karya berjudul Teater Dalam Penjara sempena penganjuran Makar Fest itu juga adalah acara yang memberi manfaat kepada orang ramai.
“Bukan nak tunggang tapi isu ini sedang hangat diperkatakan. Kalau tidak ke depan untuk bercerita, kita akan ketinggalan. Kenapa tidak saya kongsi sedangkan ada ruang yang bagus?
“Jika tidak dapat ruang, kita cari peluang,” katanya ketika ditemui pada sidang media Makar Fest 2025 yang berlangsung di sini, hari ini.
Mengenai teater lagi, kata Issey, karya arahan Sabri Yunus yang bakal dipentaskan Red Bean Productions itu juga mengetengahkan isu kebebasan serta buli.
Katanya, ia bakal diadakan di KotaJail, Johor Bahru, Johor yang juga bekas tapak penjara ketiga tertua di Malaysia.
“Apa yang menarik, teater ini dipentaskan betul-betul dalam penjara iaitu di KotaJail.
KotaJail adalah penjara ketiga tertua di negara ini dan berusia lebih 100 tahun yang dahulunya menempatkan ramai banduan.
“Bayangkan, kami pentaskan teater terbabit dalam penjara yang kini dinaiktaraf sebagai tempat pelancongan yang baru di Johor Bahru.
“Jadi, orang ramai yang datang ke Makar Fest 2025 dan menonton teater ini boleh merasai sendiri pengalaman bagaimana banduan berada dalam penjara,” katanya.
Sementara itu, kata Issey, usaha berkenaan secara tidak langsung sebagai satu bentuk solidariti terhadap gejala buli yang kini hangat diperkatakan ketika ini.
“Dengan pementasan ini kami nak tarik lebih ramai orang agar benci buli. Pada saya, ini adalah gerakan untuk bersama-sama memberi kesedaran kepada orang ramai,” katanya.
Selain Issey, teater itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Ain Sufia, Ammar Titan dan Angeline Tan.
Maklumat mengenai jualan tiket Teater Dalam Penjara akan dimaklumkan menerusi media sosial Makar Fest 2025 bermula Isnin ini.
Ā© New Straits Times Press (M) Bhd