Bukit Aman siasat kematian suspek amuk

Bukit Aman siasat kematian suspek amuk

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Bukit Aman menjalankan siasatan kematian seorang suspek yang ditahan selepas menyerang bapanya di Kampung Temong Hilir, Kuala Kangsar, Perak, semalam.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad, berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar menerima laporan seorang lelaki dipercayai pesakit mental mengamuk dan menyerang bapanya, pada jam 7 malam, semalam.

“Polis yang tiba di lokasi mendapati suspek yang berusia 38 tahun dalam keadaan agresif sedang bergelut dan ditahan di atas tanah oleh empat lelaki, termasuk bapa suspek.

“Anggota polis kemudian membantu menahan lelaki itu untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan dan semasa dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kangsar, suspek tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azri berkata, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan hospital berkenaan.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut sehingga laporan bedah siasat diperolehi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top