Bukit Bintang Bergegar! Ajak Peminat Berdangdut, Ratusan Peminat Serbu Persembahan Haiza

Bukit Bintang Bergegar! Ajak Peminat Berdangdut, Ratusan Peminat Serbu Persembahan Haiza

Penyanyi Haiza melahirkan rasa syukur dan gembira apabila impiannya untuk membuat persembahan di lokasi ikonik Bukit Bintang akhirnya tercapai.

Penyampai radio Kool 101 ini menganggap pengalaman itu amat berharga buat dirinya yang sudah hampir tiga dekad bergiat aktif dalam dunia seni.

Meraih sokongan serta tepukan gemuruh orang ramai, Haiza mempersembahkan Dag Dig Dug 3.0, Seperti Mati Lampu, Bintang Kehidupan dan banyak lagi.

“Sejak lama saya menyimpan impian untuk mengadakan persembahan di Bukit Bintang. Bagi saya, acara seperti ini adalah hiburan untuk semua kerana sesiapa pun boleh datang dan menikmati persembahan tanpa bayaran.

“Sepanjang karier, inilah kali pertama saya beraksi di sini. Untuk menjayakannya, kami turut melalui prosedur yang betul termasuk mendapatkan kelulusan pihak berkuasa,” jelasnya.

Haiza berkata demikian selepas menghiburkan ratusan peminat menerusi acara Busking Bersama Haiza di Bukit Bintang pada Sabtu lalu.

Acara Busking Bersama Haiza di Bukit Bintang turut mendapat sokongan daripada stesen radio Kool 101 dan Indigital Music.

Selain Haiza, rakan selebriti lain seperti Datuk Aznil Nawawi, Muaz dan Hariz Fayahet turut turun padang.

Mengulas tentang sambutan luar biasa yang diterima, Haiza mengakui dirinya terharu dan terkejut dengan sokongan padu peminat.

“Rasanya macam artis antarabangsa pun ada, sebab begitu ramai penonton dari pelbagai negara termasuk Indonesia, Arab, Brunei dan lain-lain. Mungkin mereka kebetulan melancong, jadi turut serta menyaksikan persembahan saya.

“Respons penonton memang luar biasa. Mereka tak henti-henti menyanyi dan menari bersama. Semangat itulah yang membuatkan saya lupa penat dan benar-benar terhibur,” ujarnya lagi.

Scroll to Top