kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur
Pengumuman kadar dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) 5.75 sen bagi tahun kedua berturut-turut mencerminkan ketahanan ekonomi domestik Malaysia dalam mendepani persekitaran global yang semakin mencabar, meskipun berdepan tekanan tarif perdagangan dan ketidaktentuan geopolitik dunia.
Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, kadar dividen itu adalah wajar dan realistik selaras dengan prestasi sebenar ekonomi serta pasaran pelaburan semasa.
Katanya, pengumuman itu selari dengan jangkaan pasaran berikutan tekanan ekonomi global termasuk dasar tarif Amerika Syarikat (AS) serta ketidaktentuan geopolitik dunia, khususnya di rantau Asia Tenggara.
“Pengumuman ini menepati jangkaan kerana ekonomi global ketika ini lebih mencabar berbanding 2024, khususnya kesan dasar tarif AS yang memberi tekanan kepada negara kecil termasuk Malaysia, selain ketidaktentuan geopolitik di peringkat antarabangsa.
“Walaupun ekonomi global mencabar, Malaysia masih menunjukkan kekuatan dari sudut domestik dan pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar AS, prestasi ekonomi domestik yang baik serta peningkatan nilai eksport negara menyokong keputusan mengekalkan dividen ASB pada kadar 5.75 sen,” katanya.
Menurutnya, jumlah agihan dividen dan bonus ASB yang mencecah RM10.4 bilion kepada 11.4 juta pemegang unit dijangka memberi kesan positif kepada ekonomi negara, khususnya dari aspek perbelanjaan domestik.
“Suntikan tunai ini berupaya melonjakkan perbelanjaan isi rumah, sekali gus meningkatkan permintaan barangan dan perkhidmatan domestik.
“Secara langsung, ia akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi negara pada separuh pertama 2025, dan memperkukuh asas ekonomi untuk berdepan cabaran pada tahun mendatang,” katanya.
Mengulas pemberian bonus 0.25 sen yang kekal sama seperti tahun lalu, beliau berkata, ia mencerminkan keupayaan Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengurus risiko dalam persekitaran ekonomi global yang tidak menentu.
“Bonus yang dikekalkan ini menunjukkan pengurusan risiko yang berhati-hati dan efektif, lebih penting pelaburan ASB tidak terdedah kepada pelaburan berisiko tinggi yang boleh menjejaskan keupayaan pemberian pulangan kepada pelabur,” katanya.
Beliau turut berpandangan, walaupun kadar dividen tidak meningkat, sentimen pelabur runcit khususnya golongan B40 dan M40 dijangka kekal positif.
“Kadar dividen 5.75 sen masih kompetitif dan berada di landasan yang betul.
“Keupayaan ASB mengekalkan kadar ini selama dua tahun berturut-turut selepas tempoh pasca-Covid-19 bukan sesuatu yang mudah,” katanya.
Menurutnya, prestasi itu bukan sahaja mampu mengekalkan keyakinan pelabur sedia ada untuk terus meningkatkan tabungan, malah berpotensi menarik pelabur baharu.
“ASB kekal sebagai instrumen simpanan yang diyakini dan mampu memberi jaminan masa depan yang cerah kepada pelabur,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



