Bukti komitmen ESG

Bukti komitmen ESG

rencana@hmetro.com.my

MAJLIS tahunan berprestij yang mengangkat kredibiliti kelestarian dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bakal kembali apabila Sustainability & CSR Malaysia Awards dan Karnival CSR 2025 dijangka berlangsung di Kuala Lumpur pada 17 Julai ini.

Majlis anjuran Pertubuhan Amal Tanggungjawab Kemapanan dan Korporat Malaysia (National Body for Sustainability and Corporate Social Responsibility) bersama penerbitan CSR Malaysia itu diadakan bagi mengiktiraf syarikat-syarikat korporat yang memainkan peranan sebagai agen perubahan dalam transformasi sosio-ekonomi negara secara mampan dalam aspek Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG).

Menariknya majlis tahunan bertaraf nasional kali ke-10 berkenaan bakal dirasmikan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Amal Tanggungjawab Kemapanan dan Korporat Malaysia, Datuk R Rajendran, matlamat utama penganjuran itu bagi memperkukuhkan kesedaran berkenaan pentingnya aktiviti CSR dan kelestarian dalam menjamin daya tahan industri.

“Satu kajian yang dijalankan pertubuhan kami menunjukkan bahawa syarikat yang mengamalkan prinsip kelestarian mempunyai visi yang jelas terhadap kelangsungan syarikat dan membangunkan strategi yang menyokong matlamat itu.

“Syarikat-syarikat di Malaysia yang disenaraikan sebagai pemenang dalam edisi kali ini berjaya membuktikan komitmen ESG masing-masing dengan melaksanakan rantaian bekalan hijau, mengurangkan pencemaran dan pembaziran, menghapuskan penggunaan plastik sekali guna, mengoptimumkan kitar hayat produk serta mempertingkatkan kecekapan tenaga dan air.

“Amalan buruh yang baik, kebajikan pekerja, kesihatan dan keselamatan serta sumbangan kepada komuniti juga adalah elemen penting yang telah diterapkan mereka,” katanya.

Pemilihan bagi pemenang melalui proses yang ketat dengan penilaian dibuat barisan panel juri yang terdiri daripada pengamal media dan Ahli Lembaga Pertubuhan Amal Tanggungjawab Kemapanan dan Korporat Malaysia.

Sementara itu, Editor Pengurusan CSR Malaysia, Lee Seng Chee, memaklumkan bahawa penjajaran amalan syarikat yang selari dan tidak bercanggah dengan prinsip Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) seperti yang dikemukakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) antara kriteria utama pemilihan penerima anugerah.

“Setiap syarikat yang disenarai pendek sebagai pemenang bukan sahaja mempunyai matlamat dan objektif inisiatif kelestarian yang jelas, malah turut konsisten melaksanakan program-program berkaitan CSR,” katanya.

Bertemakan Melangkaui Keuntungan, Jadikan Dunia Kita Sebagai Tempat yang Lebih Baik, Sustainability & CSR Malaysia Awards turut mengangkat perjuangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melalui penganjuran Karnival CSR yang diadakan serentak.

Melalui karnival ini, hubungan dua hala antara NGO yang terdiri daripada badan kebajikan serta pertubuhan amal bersama-sama syarikat korporat dapat dipererat selain berpeluang menjalin kolaborasi dalam program-program CSR baharu di masa akan datang.

Penganjuran terdahulu menyaksikan syarikat-syarikat gergasi nasional serta multinasional dipilih sebagai pemenang.

Antaranya ialah Bank Rakyat, Pos Malaysia, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), YTL Construction, MR DIY, UDA Holdings, Prudential, UMW, FedEx, KPJ, Mah Sing, Zakat Selangor, Standard Chartered Bank, Hong Leong Bank, Sunway, 7-Eleven, McDonald’s, KPS Berhad, Watsons, Sarawak Energy, Malakoff, Bank Pembangunan, MCIS Insurance, Besraya, Flextronics, Kimberly-Clark, Canon, Uniqlo Malaysia, Alam Flora dan banyak lagi.

Pada masa sama, program CSR Malaysia banyak mendapat galakan dan pembabitan dua tokoh kemasyarakatan terkenal iaitu mantan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Faizah Tahir serta aktivis sosial kebangsaan, Tan Sri Lee Lam Thye

Lebih membanggakan, Sustainability & CSR Malaysia Awards dan Karnival CSR diperkenal Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sejak penganjurannya dari tahun 2016 dengan kehadiran Menteri dan Timbalan Menteri.

Malah, pada tahun 2018 program itu dirasmikan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top