Bulan madu berakhir tragedi

Bulan madu berakhir tragedi

Jakarta: Bulan madu pengantin baharu bertukar tragedi apabila mereka ditemukan tidak sedarkan diri di bilik mandi resort di Lakeside Alahan Panjang, Solok, Sumatera Barat pada 8 Oktober, baru-baru ini.

Memetik Tribun-Bali.com, mangsa, Gilang Kurniawan dan isterinya, Cindy Desta Nanda, masing-masing berusia 28 tahun dan berasal dari Padang, baru empat hari melangsungkan perkahwinan sebelum kejadian itu.

Media melaporkan, kakitangan resort berasa curiga selepas beberapa kali cuba menghantar sarapan pagi, namun tidak mendapat sebarang jawapan.

Seorang pekerja memaklumkan mendengar suara lelaki pada awal pagi mengatakan sedang mandi.

Bagaimanapun, selepas keadaan terus senyap hingga kira-kira 7.30 pagi, pihak hotel mengambil keputusan memecahkan pintu bilik pasangan berkenaan.

Sebaik pintu dibuka, pekerja resort menemukan Gilang dan Cindy terbaring tidak sedarkan diri di lantai bilik mandi.

Susulan itu juga, Cindy disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Komuniti Alahan Panjang, manakala Gilang yang terselamat dikejarkan ke Hospital Daerah Arosuka untuk rawatan lanjut.

Dalam pada itu, kakitangan resort terlebih dahulu memberikan bantuan kecemasan menggunakan kit oksigen mudah alih sebelum pasangan itu dibawa untuk rawatan.

Portal TribunSumsel pula melaporkan, beberapa bahan bukti sudah ditemukan di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

Siasatan awal mendapati kemungkinan pasangan berkenaan terhidu gas daripada pemanas air di bilik mandi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top