Bulan 'pemanas enjin' menghadapi Ramadan

Bulan 'pemanas enjin' menghadapi Ramadan

Rejab berada pada kedudukan bulan yang ketujuh dalam sistem kalendar Hijrah. Ia termasuk dalam kelompok bulan haram iaitu keempat selepas tiga bulan lain yang berturutan, termasuk Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam.

Pada Rejab, berlaku banyak peristiwa sejarah penting bagi umat Islam, khususnya peristiwa besar Israk dan Mikraj. Bulan ini dinamakan Rejab, iaitu kehormatan kerana orang Arab jahiliah menghormatinya dan mereka tidak berperang pada bulan itu di samping mereka mengorbankan haiwan pada mana-mana hari daripada 10 hari terawal Rejab.

Jadi, dengan kedatangan Islam, pantang larang ini diteruskan, diharamkan untuk berperang pada bulan haram melainkan dalam situasi diperangi oleh musuh Islam. Selain itu, bulan haram juga mempunyai keistimewaan khusus, iaitu gandaan yang bukan sahaja melibatkan perkara berkaitan pahala, bahkan dosa.

Saban tahun apabila menjelang Rejab, polemik ibadah puasa sunat dan amalan lain dalam bulan ini yang dianggap sebagai bidaah kerana Nabi SAW tidak melakukannya di samping dakwaan bahawa kelebihan yang tersebar dalam masyarakat adalah lemah dan palsu. Tambahan tiada kelebihan berpuasa pada Rejab berbanding bulan lain. Namun, terdapat hadis Nabi SAW yang menunjukkan baginda berpuasa pada Rejab. Dalam hadis Nabi SAW: “Uthman bin Hakim al-Ansari RA berkata: ‘Aku telah bertanya kepada Said bin Jubair tentang puasa pada Rejab. Ketika itu kami berada dalam bulan Rejab. Sa’id bin Jubair pun menjawab: Aku mendengar Ibn Abbas RA berkata: Rasulullah SAW berpuasa sehingga kami berkata beliau tidak berbuka. Baginda berbuka sehingga kami berkata baginda tidak berpuasa.'” (Hadis Riwayat Muslim, no hadis: 1157)

Seiring itu juga, tiada larangan yang tegas dan khusus untuk berpuasa pada Rejab sama ada secara penuh atau tidak penuh. Bagi mereka yang berpuasa penuh bukanlah bermakna amalan ini tidak sah atau tidak memperoleh ganjaran pahala. Nabi SAW menganjurkan untuk berpuasa pada bulan haram kerana apa yang jelas bahawa bulan haram dijanjikan dengan ganjaran pahala berganda. Namun, dalam hadis lain menjelaskan berkaitan kebimbangan Nabi SAW kepada umatnya bahawa mungkin akan jemu, lesu dan tidak konsisten. Hadis Nabi SAW: “Aisyah RA berkata: ‘Rasulullah SAW tidak berpuasa dalam mana-mana bulan dalam setahun lebih banyak daripada Syaaban.'” Baginda juga bersabda: “Ambillah daripada amalan apa yang kamu mampu kerana Allah tidak sekali-kali akan jemu sehingga kamu berasa jemu.”

Baginda juga bersabda: “Amalan yang paling dicintai oleh Allah ialah amalan yang dilakukan secara konsisten oleh pelakunya walaupun sedikit.” (Hadis Riwayat Muslim, no hadis: 1156)

Dalam banyak keadaan, Nabi SAW tidak melakukan amalan yang berstatus sunat secara berterusan atau lengkap sebulan agar tidak memberatkan umatnya.

Kekhuatiran timbul sekiranya mereka yang berpuasa penuh pada Rejab dan Syaaban akan gagal melaksanakan ibadah puasa wajib ketika Ramadan kelak dengan sempurna dan berkualiti kerana jemu dan kehabisan tenaga.

Ini menyebabkan mereka gagal kerana lebih mengutamakan ibadah sunat hingga tidak dapat melaksanakan puasa yang wajib. Bagi segelintir orang yang mampu dan biasa menjalankan rutin berpuasa sunat, situasi ini mungkin tidak timbul bagi mereka untuk berpuasa selama tiga bulan dengan sempurna sebagai amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Namun, amalan ini tidaklah diwajibkan atau mendatangkan kemudaratan kepada pihak yang berkenaan. Jelasnya, bagi yang tidak mampu, mereka wajib menfokuskan puasa Ramadan. Ini disebabkan berpuasa pada Rejab dan Syaaban secara penuh akan memberatkan buat mereka yang tidak mampu.

Bagi masyarakat Islam, kehadiran Rejab ibarat latihan awal untuk ‘memanaskan enjin’ sebelum memasuki Ramadan kelak. Rejab diibaratkan sebagai fasa membajak tanah iaitu permulaan usaha membersihkan hati dan jiwa serta mempersiapkan diri untuk memasuki bulan berikutnya. Seterusnya, Syaaban menjadi fasa menyemai yang amalan kebaikan diperbanyakkan dan benih keimanan serta ketakwaan ditingkatkan seiring kesungguhan sebagai persediaan menyambut Ramadan.

Ramadan pula adalah fasa menanam yang segala usaha yang dimulai pada bulan sebelumnya diperkukuhkan melalui ibadah puasa, solat, zikir, membaca al-Quran, bersedekah dan pelbagai amal saleh.

Akhirnya, Syawal menjadi fasa menuai apabila umat Islam meraih ganjaran atas usaha dan amalan yang dilakukan sepanjang bulan itu disertai kegembiraan dan kesyukuran yang melambangkan kejayaan memperbaiki diri dan mendekatkan diri kepada Allah SWT serta menjadi insan yang bertakwa.

Dengan itu, latihan sedikit demi sedikit bermula daripada Rejab dalam bentuk amalan sunat, sama ada puasa, zikir, baca al-Quran, solat sunat dan amal kebajikan lain dilengkapkan lagi pada Ramadan dengan amalan wajib serta sunat.

Bagi golongan yang masih belum menyempurnakan qadak puasa wajib yang ditinggalkan sama ada dengan uzur atau tanpa keuzuran syarii, rebutlah peluang pada Rejab dan Syaaban yang masih berbaki untuk menggantikannya agar tidak dikenakan bayaran fidyah kerana melewatkan qadak melebihi Ramadan tahun semasa.

Sehubungan itu, pada bulan haram khususnya kurangkan perbalahan serta polemik dan fokus mempersiapkan diri dengan ibadah sunat. Ini disebabkan Rejab adalah fasa awal dalam perjalanan kita menuju Ramadan. Wajar ia diisi dengan pelbagai amal soleh lantaran ganjarannya yang berganda berbanding bulan lain. Di samping itu, perbuatan maksiat dan mungkar yang boleh mengundang dosa perlu dielakkan agar tidak mendapat murka Allah.

Semoga kita diberkati pada Rejab dan mendapat limpahan rezeki untuk bertemu Ramadan.

Penulis Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top