
Serangan oleh AS dan Israel yang menyasarkan orang awam disifatkan melanggar Konvensyen Geneva. Foto: Agensi
ANKARA – Persatuan Bulan Sabit Merah Iran mengesahkan sebanyak 6,668 lokasi awam menjadi sasaran dalam serangan yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel, termasuk ribuan rumah dan puluhan kemudahan perkhidmatan awam, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam satu kenyataan, organisasi bantuan Iran itu memaklumkan yang serangan oleh AS dan Israel membedil pelbagai infrastruktur awam di seluruh negara itu.
Menurut kenyataan itu, antara lokasi yang terjejas termasuk 5,535 bangunan kediaman, 1,041 unit komersial, 14 pusat kesihatan, 65 sekolah dan 13 kemudahan yang bergabung dengan Bulan Sabit Merah.
Organisasi itu turut melaporkan yang banyak kenderaan bantuan dan penyelamat rosak semasa serangan manakala beberapa petugas bantuan dan kakitangan Bulan Sabit Merah mengalami kecederaan.
Kenyataan itu menegaskan yang serangan oleh AS dan Israel yang menyasarkan orang awam adalah melanggar Konvensyen Geneva.
“Institusi antarabangsa, organisasi bantuan kemanusiaan dan pembela hak asasi manusia diharapkan dapat mengambil langkah segera dan berkesan bagi melindungi nyawa orang awam, memastikan keselamatan pekerja bantuan, serta menjamin penghormatan terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” menurut kenyataan itu lagi. – Bernama-Anadolu
Ringkasan AI
- Persatuan Bulan Sabit Merah Iran melaporkan 6,668 lokasi awam diserang oleh AS dan Israel
- Serangan tersebut merangkumi ribuan rumah dan puluhan kemudahan perkhidmatan awam
- Antara yang terjejas termasuk 5,535 bangunan kediaman, 1,041 unit komersial dan 14 pusat kesihatan
- Banyak kenderaan bantuan dan penyelamat rosak, beberapa petugas bantuan cedera
- Serangan terhadap orang awam itu melanggar Konvensyen Geneva



