Buli: Bila anak jadi pemangsa

Buli: Bila anak jadi pemangsa

DI SEBALIK pagar sekolah yang tampak aman dan asrama yang kelihatan damai, tersembunyi luka jiwa yang tidak berdarah.

Buli dalam kalangan pelajar bukan sekadar kenakalan remaja, malah ia satu pengkhianatan terhadap nilai insani dan pengabaian terhadap tanggungjawab kolektif masyarakat.

Sejak dahulu, Islam sudah memberi amaran tegas terhadap segala bentuk kezaliman. Sabda Nabi Muhammad SAW: “Zalim itu merupakan kegelapan pada hari kiamat.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Buli, baik secara fizikal, emosi mahupun psikologi adalah bentuk kezaliman. Ia membina trauma, menghancurkan harga diri dan meninggalkan kesan sepanjang hayat kepada mangsa.

Budaya senioriti toksik, pengabaian amanah

Di sekolah berasrama, budaya ā€œabang besarā€ dan ā€œkakak seniorā€ dijadikan lesen untuk mendisiplin junior secara melampau.

Dalam Islam, kepimpinan bukan ruang dominasi, tetapi amanah dan kasih sayang. Sabda Nabi SAW: “Setiap kamu merupakan pemimpin dan setiap pemimpin akan ditanya tentang kepimpinannya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Malangnya, ramai pelajar senior menyalahgunakan kedudukan. Apa yang harus menjadi bimbingan berubah menjadi tekanan dan penderaan.

Kekosongan didikan rohani dan akhlak

Kerap kali pembuli merupakan mereka yang tidak dibentuk dengan nilai agama secara menyeluruh.

Pendidikan moden terlalu berpusat pada pencapaian akademik, sedangkan al-Quran mengingatkan bahawa manusia itu dicipta untuk beribadah dan menjadi khalifah yang berakhlak: “Sesungguhnya sebaik-baik kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertakwa.” (Surah Al-Hujurat: 13)

HENTIKAN jenayah buli dan didik anak supaya bencikan perbuatan menganiaya orang lain. Foto Canva

HENTIKAN jenayah buli dan didik anak supaya bencikan perbuatan menganiaya orang lain. Foto Canva

Tanpa bimbingan rohani, jiwa menjadi gersang, lalu emosi memberontak melalui dominasi dan kekasaran.

Kerapuhan emosi akibat jauh dari keluarga

Remaja yang dihantar ke asrama pada usia muda sering mengalami kejutan emosi. Tanpa kehadiran ibu bapa sebagai sumber kasih sayang, mereka mencari identiti dan kawalan diri melalui jalan salah iaitu dengan mengawal orang lain.

Pandangan ini turut disokong oleh Ibnu Khaldun dalam kitabnya, Muqaddimah yang menyatakan bahawa pendidikan awal tanpa empati akan menghasilkan manusia yang kasar, keras dan memberontak.

Pendidikan emosi yang diabaikan

Islam sangat menitikberatkan pengurusan emosi. Rasulullah SAW bukan sahaja insan paling berilmu, tetapi juga paling sabar dan pengasih.

Buli sering lahir daripada kegagalan mengurus marah, kecewa atau cemburu. Sabda Nabi SAW: “Bukanlah orang yang kuat itu yang menang dalam bergusti, tetapi yang mampu mengawal dirinya ketika marah.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Pendidikan hari ini seharusnya meletakkan elemen kawalan diri, empati dan komunikasi sebagai asas sebelum akademik.

Kesan lingkungan dan pengalaman silam

Sarjana Islam Imam Al-Ghazali menegaskan bahawa tingkah laku manusia sangat dipengaruhi oleh suasana dan pengalaman.

Remaja yang dibesarkan dalam persekitaran autoritarian, kasar atau menjadi mangsa buli sebelum ini, cenderung mengulangi corak yang sama.

Mereka membuli bukan kerana kuat, tetapi kerana pernah rasa lemah. Dan kini, ingin ā€˜mengambil kuasa’ dengan cara salah.

Ketandusan sistem sokongan sekolah

Kebanyakan sekolah masih kekurangan kaunselor tetap, sistem intervensi awal dan saluran aduan yang mesra pelajar.

Tanpa safe space, mangsa terpaksa memendam dan pembuli pula terus bebas. Ini adalah satu bentuk khianat terhadap amanah pendidikan.

Firman ALLAH SWT: “Dan janganlah kamu menyembunyikan kesaksian kerana sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia berdosa.” (Surah Al-Baqarah: 283)

Diam terhadap buli adalah satu bentuk kerjasama terhadap kezaliman.

Tradisi yang disangka sunnah

Sebahagian sekolah menganggap ā€˜uji kekuatan mental’ oleh senior sebagai tradisi. Malangnya ia bukan lagi pengukuhan jiwa, tetapi penindasan berkasta.

Islam tidak pernah mengajar memperlekeh atau mengasari yang muda. Bahkan Rasulullah SAW sangat menghormati anak-anak, menyambut mereka dengan senyuman dan belaian.

Cadangan bertindak dengan kembali kepada hikmah pendidikan Islam:

1 – Modul Pendidikan Emosi & Akhlak Islamiah perlu diwajibkan dalam kurikulum.

2 – Latihan guru dan warden berasaskan trauma informed care dan nilai ukhuwah.

3 – Meningkatkan jumlah kaunselor tetap dan mewujudkan sistem aduan berintegriti.

MANGSA buli akan mengalami trauma berpanjangan dan boleh menyebabkan dia pula menjadi pemangsa. Foto Canva

MANGSA buli akan mengalami trauma berpanjangan dan boleh menyebabkan dia pula menjadi pemangsa. Foto Canva

4 – Penglibatan ibu bapa dan masjid dalam mendidik akhlak sosial remaja.

5 – Buli perlu difatwakan sebagai jenayah moral dan sosial, bukan sekadar salah laku.

Jangan biarkan jiwa muda membusuk dalam diam

Buli bukan sekadar isu pelajar. Ia adalah cermin kepada kegagalan kita membina masyarakat berakhlak.

Dalam setiap tangisan mangsa, terdapat jeritan meminta belas dan dalam setiap penumbuk pembuli, ada jiwa yang juga sebenarnya sedang luka.

Jika kita terus membiarkan maka bukan sahaja mereka, bahkan kita semua akan turut binasa.

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam perkara kebajikan dan takwa serta janganlah kamu tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan.” (Surah al-Maidah: 2)

Ingat, setiap anak adalah amanah, bukan alat untuk wariskan dendam.

Jangan biarkan tangan kecil itu belajar menampar sebelum mereka belajar menadah doa. Jangan biarkan suara mereka hilang sebelum mereka sempat menyebut “Ya Allah, aku sakit.”

Hakikatnya, jika kita tidak membendung buli hari ini, kita sedang menyemai generasi yang membesar dengan jiwa kosong, hati keras dan lidah tajam.

Natijah apabila itu berlaku maka yang terbunuh bukan hanya mangsa, tetapi juga seluruh nilai kemanusiaan.

Ingatlah kata-kata Ibnu Qayyim Al-Jawziyyah dalam kitabnya, Tuhfat al-Mawdud: “Mereka itu anak-anakmu yang akan menjadi musuhmu jika kamu abaikan.”

***PROF MADYA DR ZAIZUL AB RAHMAN merupakan Pensyarah Kanan Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Scroll to Top