Kementerian Pendidikan (KPM) menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, berhubung keperluan membendung salah laku buli di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya.
KPM dalam kenyataan hari ini berkata, titah Seri Paduka Baginda menjadi peringatan kepada seluruh warga kementerian untuk menangani salah laku buli yang memberi implikasi negatif kepada masyarakat dan negara.
“KPM menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk melaksanakan kempen anti-buli secara menyeluruh di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya bermula di peringkat sekolah rendah.
“Ini termasuk dengan memberi kesedaran dan memupuk sikap untuk saling menghormati antara satu sama lain. Nilai hormat, disiplin dan kasih sayang akan diterapkan dalam diri setiap murid,” menurut kenyataan itu.
KPM junjung titah Agong laksana kempen anti-buli
Pelaksanaan kempen ini akan dilakukan dengan kerjasama rentas kementerian bagi memastikan impak dan keberkesanannya.
KPM turut menekankan kebersamaan semua pihak adalah dituntut dalam memerangi salah laku buli serta menjadi tanggungjawab bersama untuk membentuk generasi masa hadapan yang cemerlang dengan nilai dan akhlak mulia.
“Pada waktu ini KPM sedang merangka Kurikulum Persekolahan 2027 yang memberi tumpuan kepada aspek pendidikan karakter.
“Ia merangkumi pembinaan nilai-nilai manusiawi untuk melahirkan insan yang beradab, berakhlak dan berintegriti,” tambahnya.
Artikel lain: Agong titah kerajaan laksana kempen antibuli sejak sekolah rendah – “Fahami hormat, disiplin”
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan titah agar kerajaan melaksanakan kempen anti-buli secara menyeluruh bagi membendung gejala itu sejak di peringkat sekolah rendah.
Menerusi hantaran di laman Facebook Seri Paduka Baginda, titah baginda menekankan bahawa budaya buli yang tidak dibendung sejak kecil berisiko melahirkan generasi yang hilang nilai hormat dan kasih sayang sesama insan.
“Buli bukan sahaja merosakkan mental dan emosi mangsa, malah boleh mengakibatkan pelbagai tragedi.
“Anak-anak perlu diberi penerangan sejak dari usia kecil mengenai perkara ini dan menerusi kempen berkenaan akan membimbing mereka dalam memahami erti saling hormat menghormati dan berdisiplin,” titah Seri Paduka Baginda.