Buli: Dua lagi pelajar MRSM di Besut ditahan

Buli: Dua lagi pelajar MRSM di Besut ditahan

am@hmetro.com.my

Besut: Polis menahan dua lagi pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Besut bagi membantu siasatan kes buli membabitkan pelajar tingkatan dua.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, pihak polis menerima laporan kedua daripada seorang lagi pelajar lelaki berusia 14 tahun yang mendakwa turut menjadi mangsa dalam kejadian sama.

“Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut pada jam 3.58 petang Khamis.

“Mangsa kedua mendakwa dia dibuli oleh pelajar-pelajar sama dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 11.30 malam, 24 Jun lalu di asrama putera MRSM di Besut,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Katanya, mangsa mengalami kecederaan sakit di bahagian kaki kanan dan kiri.

“Dua suspek lelaki masing-masing berusia 15 tahun itu ditahan jam 4 petang tadi selepas hadir bersama keluarga di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut.

“Permohonan reman terhadap kedua-dua pelajar akan dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada esok hari.

“Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, lima pelajar lain berusia antara 15 hingga 17 tahun direman selama tiga hari bermula hari ini selepas dipercayai terlibat dalam kejadian buli terhadap seorang pelajar berusia 14 tahun.

Perintah reman dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Yuhanis Mohd Roslan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

Azamuddin berkata, kejadian dipercayai berlaku di asrama putera pada jam 11.30 malam, Selasa lalu dan disedari oleh warden bertugas.

“Mangsa mendakwa diarahkan membuat kedudukan separa mencangkung sambil diletakkan selipar di atas kepala selama kira-kira 40 minit.

“Mangsa turut mendakwa ditumbuk di bahagian perut dan ditampar oleh beberapa pelajar tingkatan tiga sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” ujarnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top