Buli: `Saya belum terima apa-apa notis saman' – Asyraf Wajdi

Buli: `Saya belum terima apa-apa notis saman' – Asyraf Wajdi

am@hmetro.com.my

Melaka: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan masih belum menerima apa-apa notis saman daripada beberapa ibu bapa kepada pelajar yang dibuang dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) kerana terbabit kes buli, baru-baru ini.

Katanya, meski pun sebelum ini beliau sendiri menerima ugutan untuk disaman atas tindakan tegas terhadap anak mereka, namun sehingga kini tiada sebarang surat tuntutan saman (LOD) yang diterimanya atau pihak yang dikaitkan ibu bapa berkenaan.

“Setakat ini saya tidak menerima lagi LOD, namun apabila ugutan itu dibuat oleh mereka, saya sendiri tertanya-tanya atas asas apa yang nak disaman kerana tindakan dan proses yang kita lakukan adalah mengikut peraturan MARA.

“Cuma seperti mana saya sebutkan kami bukannya mahkamah untuk menentukan secara tuntas bersalah atau tidak bersalah tapi prinsip saya jelas daripada awal lagi bila saya diberikan amanah sebagai Pengerusi MARA iaitu ‘you touch you go’,” katanya selepas menghadiri program bual bicara dan merasmikan Majlis Peluncuran Halal Learning Provider’ di Kolej Profesional MARA (KPM) Bandar Melaka, di Jalan Hang Tuah di sini hari ini.

Awal bulan lalu, Asyraf Wajdi mendedahkan ada ibu bapa yang anak mereka dibuang dari MRSM kerana kes buli mahu memfailkan saman terhadapnya serta agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu.

Beliau turut memberi reaksi ringkas bahawa sentiasa bersedia jika mereka mahu bertindak demikian.

Kes buli terbaharu di MRSM dilapor berlaku di Melaka hujung bulan lalu, membabitkan enam pelajar Tingkatan 5 yang digantung dan dicadang untuk dibuang dengan Asyraf Wajdi menegaskan kepada pihak pengurusan MARA supaya tidak melayan sebarang rayuan.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, walaupun sebelum ini ramai yang mempersoalkan konteks you touch you go diperkenalkannya, tetapi ternyata sekarang memberikan satu gambaran keseriusan kerajaan dalam menangani isu buli.

Katanya, tindakan tegas MARA dalam menangani isu buli berlandaskan prinsip keadilan tanpa mengira darjat, pangkat atau latar belakang keluarga.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top