Bumi berputar lebih laju selama tiga hari

Bumi berputar lebih laju selama tiga hari

PARIS – Bumi diramalkan berputar pada kadar lebih laju selama tiga hari pada musim panas iaitu bulan Julai dan Ogos tahun ini.

9 Julai (hari ini) menjadi hari pertama lebih pendek direkodkan dengan kadar putaran lebih pendek berbanding biasa iaitu 1.30 milisaat, namun tempoh singkat itu tidak akan disedari sesiapa pun.

Punca sebenar keadaan itu bagaimanapun terus mencetuskan persoalan dalam kalangan saintis.

Kajian sebelum ini menunjukkan orbit bulan boleh memberi kesan kepada tahap kelajuan putaran bumi.

“Planet kita berputar lebih laju apabila kedudukan bulan lebih jauh ke utara atau selatan khatulistiwa bumi,” menurut TimeandDate.com.

Majalah Popular Mechanics pula melaporkan beberapa faktor seperti gempa bumi, letusan gunung berapi, daya pasang surut, geologi bawah tanah dan mekanisme lain boleh menyebabkan putaran bumi menjadi perlahan atau lebih laju.

“Pelarasan mikro tersebut adalah berdasarkan peredaran semasa,” jelasnya menerusi artikel itu lagi.

Difahamkan, hari lebih pendek telah diramalkan ahli astronomi, namun trend tersebut berada di luar jangkaan.

Sejak 1972, terdapat 27 saat lompat ditambah untuk menyumbang kepada kadar putaran bumi, tetapi tiada lagi penambahan saat lompat bermula 2016.

“Tiada siapa menjangkakan hal ini. Punca pecutan itu tidak dapat dijelaskan. Kebanyakan saintis percaya ada ‘sesuatu’ di dalam bumi.

“Model lautan dan atmosfera masih tidak dapat merungkai misteri tersebut,” ujar pakar putaran bumi di Moscow State University, Leonid Zotov.

Faktor utama yang dinilai boleh mengakibatkan keadaan itu termasuk gempa berkekuatan 9.0 skala Richter yang menggegar pantai timur Jepun pada Mac 2011 yang telah mengalihkan paksi bumi kepada kira-kira 17 sentimeter (cm) dari kedudukan asal dan memendekkan hari. – Agensi

Info:

> Perubahan kecil dari hari ke hari dalam kelajuan putaran bumi mula diukur pada 1950-an dengan jam atom.

> Hari paling pendek pernah direkodkan ialah pada 5 Julai 2024 apabila bumi melengkapkan putaran penuh dalam tempoh 1.66 milisaat berbanding kadar standard 86,400 saat.

> Tiga hari bumi berputar pada kadar lebih laju berdasarkan pemerhatian dan model daripada Perkhidmatan Sistem Putaran dan Rujukan Bumi Antarabangsa (IERS):

9 Julai: Hari lebih pendek sebanyak 1.30 milisaat

22 Julai: Bumi kehilangan 1.38 milisaat dalam sehari

5 Ogos: Hari lebih pendek sebanyak 1.51 milisaat

> Penyelidik percaya bumi mengambil masa hanya 23 jam untuk membuat putaran lengkap ketika Zaman Jura.

> Tempoh sehari di bumi meningkat pada setiap abad iaitu kira-kira 1.7 milisaat.

> Kira-kira 200 juta tahun akan datang, saintis ramalkan tempoh sehari ialah 25 jam.

 

 

Scroll to Top