hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kotor dan menjijikkan. Itu yang berlaku di Flat Hicks atau dikenali sebagai ‘Bund Shanghai’ yang terletak di Jalan Changkat di sini.
Walaupun pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah menjalankan pembersihan di bahagian hadapan premis itu namun hampir keseluruhan premis di bahagian belakang masih kotor.
Tinjauan wartawan di kawasan berkenaan mendapati premis itu berbau busuk dengan lambakan sampah-sarap di bahagian belakang premis.
Selain itu, di dalam bangunan terdapat beberapa ekor bangkai tikus yang tidak dibersihkan dan dibiarkan di kawasan berkenaan.
Difahamkan, bangunan berkenaan diuruskan Badan Pengurusan Bersama (JMB).
Hampir keseluruhan penghuni di premis itu adalah penyewa warga asing bekerja di kawasan sekitar.
Seorang warga Bangladesh yang enggan dikenali berkata, dia menyewa bilik bersama rakannya di flat terbabit dengan harga RM600.
“Saya pulang kerja jam 6 pagi dan akan masuk kerja pada jam 6 petang, saya tidak tahu premis ini tular. Memang kebanyakan penghuni di sini masak sendiri, jarang saya nampak ada pekerja pembersihan di sini,” katanya.
Kelmarin, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan kerja pembersihan di bangunan terbabit.
Selain membersihkan flat berkenaan DBKL turut mengeluarkan notis dan mengenakan dua kompaun terhadap JMB.
Sebelum ini, flat berkenaan kembali tular apabila seorang YouTuber dari Australia, Marco Roams mendedahkan keadaan terkini kawasan yang menjijikkan itu yang didakwa menjadi penempatan warga asing.
Menerusi video yang dimuat naik di platform media sosialnya, kelihatan sampah dibuang merata-rata termasuklah sampah pukal dan keadaan bangunan itu sangat usang serta bau yang amat busuk.
“Ia adalah blok pangsapuri yang paling menjijikkan pernah saya lihat. Saya pernah merakam kawasan ini setahun lebih yang lalu dalam keadaan yang sama juga, tetapi hari ini ia tetap sama tidak berubah.
“Bayangkan jika ada yang menempah Airbnb di sini, inilah yang akan anda dapat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




