am@hmetro.com.my
Butterworth: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang menumpaskan sindiket penyeludupan mercun dan bunga api tanpa permit ketika mengadakan serbuan di sebuah gudang dekat Kawasan Perindustrian Nagasari, Perai, di sini, pada 11 dan 12 Mac lalu.
Serbuan dijalankan Unit Operasi, Bahagian Penguatkuasaan negeri itu menemui tujuh kontena sebelum pemeriksaan lanjut menjumpai 1,332 karton mercun dan bunga api pelbagai jenama anggaran berjumlah hampir RM1 juta termasuk cukai.
Pengarah Kastam negeri, Rohaizad Ali berkata, siasatan mendapati semua mercun dan bunga api itu tidak mematuhi spesifikasi dan garis panduan ditetapkan dalam permit import (AP) yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Susulan itu, mercun dan bunga api bernilai RM360,767.50 dengan cukai RM599,189.63 disita untuk tindakan lanjut.
“Kita turut menahan seorang lelaki berusia lingkungan 60-an bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan JKDM negeri di Bagan Jermal, di sini, hari ini.
Beliau berkata, mercun dan bunga api yang dirampas dipercayai untuk dijual sempena Aidilfitri dengan menjadikan gudang tempat menyimpan bekalan.
“Kita masih menyiasat peranan lelaki yang ditahan dalam serbuan itu untuk mengetahui kaitannya dengan sindiket ini.
“Diingatkan bahawa mercun dan bunga api adalah barang larangan yang mana pengimportannya dibenarkan dengan syarat mempunyai lesen import di bawah Butiran 46, Bahagian 1, Jadual Ketiga Perintah Larangan (Larangan Mengenai Import 2023,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.
© New Straits Times Press (M) Bhd




