Jenazah mangsa bunuh dengan 61 kesan tikaman, Nurfisya Zukkifly, 19, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Periang, Enggor, Perak, awal pagi ini.
Jenazah dikebumikan kira-kira pukul 5.30 pagi selepas proses bedah siasat diselesaikan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, Kelantan, malam tadi.
Seorang ahli keluarga mangsa berkata buat masa ini pihaknya belum bersedia membuat apa-apa kenyataan dan meminta diberi masa untuk bertenang.
“Adik saya (ibu bapa mangsa), memang tak boleh terima lagi. Mereka tak mampu nak bercakap apa-apa,” katanya.
Sementara itu, dua remaja lelaki berusia 19 tahun dikenakan tahanan reman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu bagi membantu siasatan pembunuhan Nurfisya.
Majistret, Amirul Asyraf Abdul Rasid turut memerintahkan pasangan warga emas wanita berusia 60 tahun dan lelaki berusia 66 tahun ditahan reman tiga hari.
Terdahulu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata, kesemua suspek ditahan dalam serbuan berasingan di dua lokasi iaitu di Taman Murni, Kota Bharu dan Kampung Belukar Luas, Ketereh antara pukul 4 petang semalam sehingga awal pagi ini.
Katanya, hasil serbuan itu polis merampas dua buah kereta, satu set pakaian, selipar dan empat unit pelapik kaki serta sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
“Semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian air kencing juga negatif dadah,” katanya dslam kenyataan.
Beliau berkata, siasatan lanjut akan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (bunuh) yang boleh membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.
“Hasil laporan bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat kecederaan berganda di bahagian dada,” katanya.
Semalam, negara digemparkan dengan penemuan mayat seorang remaja perempuan dengan 61 kesan tikaman di Jalan Kampung Kubang Kiat, Ketereh.
Mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di lokasi penemuan.
KREDIT GAMBAR UTAMA: NSTP




