harisfadli@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Tiga lelaki ditahan hari ini berhubung penemuan seorang pereka dalaman yang dipercayai ditikam lebih 20 kali sehingga mati dirumahnya di Bandar Sri Damansara, di sini, Isnin lalu.
Timbalan Ketua Polis Petaling Jaya, Superintendan M Hussin Solehuddin Zolkifly berkata, salah seorang daripada suspek berkenaan disyaki memecah masuk kediaman mangsa sebelum bergelut dengan mangsa yang menyedari kehadiran suspek berkenaan.
“Bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 50 hingga 61 tahun.
“Ketiga suspek yang juga rakan serumah itu ditahan dalam serbuan di sebuah pangsapuri di sekitar Kuala Lumpur jam 3 pagi hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihak polis percaya suspek tidak mengenali mangsa dan pembunuhan itu dilakukan oleh salah seorang daripada tiga suspek terbabit.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai baru pulang ke rumah bertembung dengan suspek yang memecah masuk ke rumahnya lalu berlaku pergelutan antara mereka.
Menurutnya, kesemua suspek direman enam hari bermula hari ini sehingga 26 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Kesemua tangkapan mempunyai pelbagai rekod lampu dan dengan tertangkapnya tiga suspek ini pihak polis percaya salah seorang daripada mereka adalah pelakunya.
“Kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan pihak polis percaya dapat menyelesaikan kes bunuh ini,” katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan lelaki yang ditemui mati di sebuah unit apartmen di Bandar Sri Damansara di sini, mempunyai 20 kesan tikaman di seluruh badan termasuk tangan dan kepala.
© New Straits Times Press (M) Bhd




