mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Keheningan suasana pada waktu Subuh bertukar cemas dan panik buat penduduk di Segamat, Johor apabila rumah mereka bergegar seolah-olah digoncang pada awal pagi hari ini.
Nordin Misnan, 57, atau dikenali sebagai Pak Din yang menetap di Kampung Jawa berkata, ketika kejadian dia dan isterinya baru selesai menunaikan solat Subuh, manakala dua anak mereka masih tidur.
“Waktu itu pada 6.15 pagi, saya dan isteri baru selesai solat dan tengah berwirid. Tiba-tiba saya dengar bunyi dentuman kuat seolah-olah macam guruh di langit.
“Dalam beberapa saat kemudian, rumah pula terasa bergoyang dan barang macam pinggan mangkuk di dapur bergegar,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Nordin menceritakan detik cemas ketika Segamat dilanda gegaran gempa bumi bermagnitud 4.1.
Mengulas lanjut Nordin berkata, dia kemudiannya keluar dari rumah dan melihat beberapa jiran juga merasai gegaran sama.
“Walaupun gegaran kuat, ia hanya berlaku beberapa saat saja dan syukur rumah tidak retak, barang pun tidak pecah.
“Seumur hidup memang saya tak pernah rasa gegaran seperti ini. Alhamdulillah semuanya selamat,” katanya.
Berkongsi detik sama, Normala Mohamed, 66, yang menetap di Kampung Jabi 1 berkata, ketika gegaran berlaku, dia sedang bersiap untuk menunaikan solat Subuh.
“Masa tengah siap-siap untuk solat, saya dengar bunyi tingkap kaca bergegar kuat dalam beberapa saat.
“Masa itu jantung berdebar-debar dan terkejut sangat ingatkan ada orang gegar dari luar.
“Saya pun panik berlari ke dapur untuk beritahu suami,” katanya.
Normala berkata, pengalaman itu mengingatkannya kepada gegaran kecil pada sekitar tahun 60-an, namun bersyukur tiada kerosakan berlaku dalam kejadian terbaharu itu.
“Semua orang kampung berasa gegaran sama, namun keadaan kembali tenang beberapa saat kemudian.
“Alhamdulillah, setakat ini dinding tidak retak dan rumah kami masih selamat,” katanya.
Sementara itu, Azman Alidin, 44, yang menyewa di Kampung Tengah, Mukim Sungai Segamat pula berkata, rumahnya mengalami beberapa keretakan, namun bersyukur ketika kejadian dia tiada di rumah kerana bekerja.
“Saya balik ke rumah pada 8 pagi dan terkejut bila tengok ada kesan retak di bahagian tengah rumah dan dapur.
“Pada mulanya ingatkan tiada apa-apa tetapi apabila periksa betul-betul memang nampak retak,” katanya.
Menurut penggali kubur di Pejabat Agama Segamat itu, pihak polis hadir ke rumahnya untuk membuat pemeriksaan serta mengambil gambar kerosakan.
“Polis maklumkan supaya saya buat laporan dan saya maklumkan kepada tuan rumah.
“Setakat ini, rumah masih boleh diduduki lagi dan tiada kerosakan serius, malah semua barang di dalam rumah selamat cuma retak kecil saja,” katanya.
Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip dalam kenyataan mengesahkan, gempa bumi lemah bermagnitud 4.1 berlaku di Segamat, pada 6.13 pagi tadi selain gegaran turut dirasai di beberapa kawasan lain di Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Selatan Pahang.
© New Straits Times Press (M) Bhd