PETALING JAYA: Bursa Malaysia didagangkan rendah berikutan kebimbangan pelabur terhadap ketegangan geopolitik yang berterusan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran di Asia Barat, seiring dengan prestasi pasaran serantau yang kebanyakannya negatif.
Pada pukul 12 tengah hari, pasaran saham merosot 17.18 mata kepada 1,688.34 sebelum susut 19.17 mata kepada 1,686.35 pada sesi akhir dagangan.
Pasaran saham serantau turut didagangkan negatif lewat petang semalam merangkumi Indeks Nikkei 225 Jepun yang jatuh 1,259.61 mata ditutup pada 64,011.34, Kospi Korea Selatan merosot 124.01 mata kepada 6,909.91, Hang Seng Hong Kong susut 148.84 mata kepada 24,805.63 dan Indeks Straits Times Singapura ditutup pada 5,689.74.
Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, kelemahan Bursa Malaysia sehingga mencecah paras sekitar 1,688 lebih banyak dipengaruhi faktor luaran berbanding kelemahan asas ekonomi domestik.
Menurutnya, peningkatan hasil bon Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), kelemahan pasaran saham global serta ketegangan geopolitik yang mendorong harga minyak mentah Brent melepasi AS$100 setong telah meningkatkan sentimen berhati-hati dalam kalangan pelabur.
“Apabila hasil bon AS meningkat, aset berdenominasi dolar menjadi lebih menarik kepada pelabur dan ini boleh mendorong pengaliran keluar dana daripada pasaran sedang pesat membangun seperti Malaysia.
“Pada masa sama, kenaikan harga minyak memberi kesan bercampur kepada Malaysia kerana negara merupakan pengeksport minyak dan gas, namun harga tenaga yang lebih tinggi turut meningkatkan kos pengangkutan, logistik dan operasi perniagaan.
“Di peringkat antarabangsa, data inflasi AS juga akan dipantau rapat oleh pelabur bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai hala tuju dasar kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dari sudut analisis teknikal, indeks utama telah membentuk corak lilin susut dan dijangka membuat ujian semula ke atas paras psikologi 1,700 mata.
“Dalam keadaan semasa, kejatuhan pasaran lebih mencerminkan peningkatan ketidaktentuan global dan pengambilan risiko yang lebih berhati-hati dalam kalangan pelabur.
“Sekiranya indeks gagal mempertahankan paras psikologi berkenaan, ia berisiko untuk terus merosot menuju paras sokongan seterusnya pada 1,680 mata.
“Sementara itu, paras rintangan serta-merta pula berada pada 1,722 mata, diikuti oleh paras rintangan seterusnya pada 1,727 mata,” katanya.
Dalam pada itu, Malacca Securities Research menganggarkan pasaran tempatan akan terus berdagang secara berhati-hati berikutan kadar hasil bon global dan harga minyak mentah yang kekal tinggi.
Meskipun pasaran berdepan tekanan, firma penyelidikan itu melihat minat belian terhadap saham bertemakan pusat data dijangka kekal bertahan dan berterusan.
“Pekat Group Bhd kekal menjadi tumpuan pasaran selepas berjaya meraih subkontrak baharu bernilai RM57.2 juta bagi projek pusat data berskala besar di Johor.
“Begitu juga dengan YTL Power International Bhd yang terus disokong oleh prestasi pendapatan suku keempat tahun kewangan 2026 yang lebih kukuh serta cadangan pembangunan kampus pusat data berskala gigawatt di Taman Teknologi Sedenak,” katanya.
Tambahnya, paras rintangan FBM KLCI kini berada pada julat 1,721 hingga 1,736 mata, manakala paras sokongan jangka pendek pula dijangka terbentuk sekitar 1,676 hingga 1,691 mata. – UTUSAN

