Jakarta: Demi iPhone, lelaki di Indonesia ini sanggup ‘selongkar’ satu rak air mineral di sebuah pasar mini dengan membuka satu persatu tutup botol dalam misi memburu hadiah tersembunyi.
Aksi tidak masuk akal itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan kini tular di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai reaksi netizen.
Menerusi video yang dimuat naik semalam, kelihatan lelaki berkenaan selamba berdiri di hadapan rak minuman dan mula membuka semua penutup botol satu demi satu tanpa rasa bersalah.
“Kemaruk dapat iPhone, orang ini buka semua penutup botol air mineral di rak mini market (pasar mini),” tulis keterangan video berkenaan.
Tindakan itu dikecam ramai yang menganggap lelaki itu pentingkan diri sendiri dan menyusahkan kakitangan pasar mini yang terpaksa menyusun semula minuman itu.
“Parah betul, kesian pekerja kena kemas balik,” komen seorang pengguna menerusi petikan dalam portal Lambeturah.
Difahamkan, promosi hadiah iPhone itu disembunyikan di bawah penutup botol tertentu, namun tidak jelas sama ada lelaki berkenaan berjaya meraih apa-apa.
Setakat ini, pihak pengurusan pasar mini belum mengeluarkan kenyataan rasmi, namun insiden itu mencetuskan perbincangan hangat tentang etika pengguna ketika memburu hadiah promosi.
© New Straits Times Press (M) Bhd