Buru kejuaraan Piala Red Bull Rookies jadi keutamaan Hakim Danish

Buru kejuaraan Piala Red Bull Rookies jadi keutamaan Hakim Danish

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Misi memburu gelaran juara Piala Red Bull Rookies menjadi keutamaan buat pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli yang kini mendahului carta kejuaraan dengan kelebihan 13 mata menjelang dua pusingan terakhir.

Meskipun turut bersaing dalam saingan JuniorGP musim ini, Hakim secara terbuka mengakui fokus utamanya kini lebih tertumpu kepada Piala Red Bull Rookies memandangkan kejohanan itu menawarkan tempat ke Kejuaraan Dunia Moto3 musim depan sekiranya menamatkan aksi dalam kelompok tiga pelumba terbaik keseluruhan.

“Semestinya untuk waktu sekarang ini, saya banyak fokus kepada Piala Red Bull Rookies sebab saya tengah mendahului.

“Tapi saya juga tak lupakan JuniorGP. Setiap perlumbaan saya akan tetap bagi 100 peratus,” katanya.

Hakim, 17, yang konsisten mencabar podium sepanjang musim, tidak menafikan Piala Red Bull Rookies membuka peluang cerah buatnya untuk naik ke pentas Kejuaraan Dunia jika kekal dalam kelompok tiga terbaik.

“Saya cuba seimbangkan kedua-dua kejohanan, tapi saya nampak ada peluang cerah untuk menang dalam Piala Red Bull Rookies.

“Tapi JuniorGP pun ada peluang yang sama, kalau tiga teratas pun boleh ke Kejuaraan Dunia,” ujarnya yang tetap tenang berdepan tekanan sebagai pendahulu.

Ditanya mengenai prestasi sedikit menurun dalam dua pusingan terakhir, Hakim menjelaskan tiada isu besar membabitkan jentera, sebaliknya lebih kepada faktor persaingan di trek.

Katanya Piala Red Bull Rookies tak ada masalah dari segi jentera dan ia bergantung sepenuhnya kepada pelumba.

Namun dia mengakui ada kalanya nasib tak menyebelahi dan namun dia akan cuba memperbaiki dan lihat semula kesalahan untuk tidak mengulanginya pada perlumbaan seterusnya.

Ketika ini Hakim Danish mendahului carta keseluruhan Piala Red Bull Rookies dengan 154 mata, mengatasi pencabar terdekat dari Sepanyol, Brian Uriarte (141 mata) dan Veda Pratama dari Indonesia (130 mata).

Manakala kedudukan Hakim Danish berada di kedudukan ketujuh Junior GP.

Empat baki perlumbaan yang akan berlangsung di Austria dan Misano, Itali bakal menjadi penentu sama ada Hakim mampu melakar sejarah muncul pelumba Malaysia pertama menjulang gelaran Piala Red Bull Rookies dan seterusnya menempah tiket ke pentas Moto3 musim 2026.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top