Buruh bebas tuduhan bunuh ibu tunggal, rakan lelaki

Buruh bebas tuduhan bunuh ibu tunggal, rakan lelaki

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Seorang buruh dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini daripada tuduhan membunuh ibu tunggal dan rakan lelakinya di kondominium dekat Taman Ungku Aminah, Skudai di sini, tujuh tahun lalu.

Hakim, Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas tertuduh, M Jaykumar, 39, di akhir kes pendakwaan.

Abu Bakar dalam penghakimannya, berkata, pihak pendakwaaan gagal membuktikan kematian mangsa, K Kamala, 51 (ketika kejadian) dan S Silvaraja, 59 (ketika kejadian) disebabkan oleh kecederaan yang dilakukan tertuduh.

“Mahkamah sudah menimbangkan secara maksima keterangan dikemukakan sepanjang kes pendakwaan dan selepas menghalusi hujahan bertulis pihak-pihak, mahkamah berpendapat kecederaan tubuh badan pada kedua-dua si mati mencukupi dalam keadaan biasa untuk menyebabkan kematian.

“Pendakwaan juga cuba bergantung kepada teori tertuduh adalah orang terakhir bersama si mati. Berdasarkan pertuduhan pindahan, pendakwaan memilih 31 Oktober 2018 lebih kurang 7 malam hingga 1 November jam lebih kurang 3 pagi. Bagaimanapun mengikut keterangan saksi pendakwaan, pada jam 11.40 malam Kamala masih bercakap melalui telefon. Mahkamah berpendapat tanpa keterangan lainnya tidak mencukupi untuk mengaitkan tertuduh dengan pembunuhan si mati satu (Kamala) dan si mati dua (Silvaraja).

“Mahkamah ini turut menimbangkan tiada kesan darah si mati dijumpai pada pakaian atau barangan lain tertuduh, dan pegawai penyiasat tidak mengambil pakaian atau barangan lain milik tertuduh bagi mengesan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) kedua-dua si mati.

“Pendakwaan gagal membuktikan sama ada barang kemas yang dijual di pajak gadai oleh tertuduh adalah milik si mati (Kamala). Anak si mati dalam keterangan juga tidak dapat mengesahkan sama ada barang kemas tersebut milik ibunya. Terdapat keraguan apabila masih terdapat barang kemas bersama si mati mengikut keterangan saksi pendakwaan,” katanya ketika membacakan penghakimannya.

Mengikut kertas pertuduhan, Jaykumar yang bekerja sebagai buruh di Singapura, didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian Kamala dan Silvaraja di Flat Jalan Hang Jebat 14, Taman Ungku Aminah antara 7 malam hingga 3 pagi, 31 Oktober hingga 1 November2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Seramai 20 saksi dikemukakan pendakwaan yang dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Juanita Mohd Said dan Jaykumar diwakili peguam Datin S Freda dan K Sarawanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top