Buruh dijel 6 tahun, 10 sebatan mengaku miliki kanabis

Buruh dijel 6 tahun, 10 sebatan mengaku miliki kanabis

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Seorang buruh yang memiliki tiga rekod lampau dipenjara enam tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memiliki kanabis, tahun lalu.

Tertuduh, Al-Marwazi Salim, 32, yang masih bujang membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dikemukakan jurubahasa di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki kanabis seberat 72.73 gram (g) di sebuah rumah tidak bernombor di Parit Bengkok, Semerah di sini, 4.10 pagi, 22 Julai tahun lalu.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta sama iaitu penjara seumur hidup atau suatu tempoh tidak kurang lima tahun dan sebatan minimum 10 kali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam, Siti Farha Garieb daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya berjanji untuk tidak mengulangi kesalahan itu serta sudah insaf.

“Saya mohon agar dikenakan hukuman ringan, saya mahu berubah. Berilah peluang kepada saya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top