Buruh Pakistan didakwa lakukan amang seksual

Buruh Pakistan didakwa lakukan amang seksual

bhnews@bh.com.my

BUTTERWORTH: Seorang buruh kontrak warga Pakistan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun, bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan yang direkodkan berikutan tertuduh, Ali Asghar, 20 tidak memahami pertuduhan terhadapnya ketika ia dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di ruang tamu sebuah pangsapuri di Jalan Perai Jaya, di sini, pada jam 2 petang pada 27 Mei lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 14 (a) Akta kesalahan kesalahan seksual terhadap Kanak-kanak 2017.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Semasa prosiding kes berlangsung, tertuduh didapati terpinga-pinga selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu kerana tidak memahaminya dan memberitahu hanya faham bahasa Urdu.

Berikutan itu, Mahkamah menetapkan 19 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan jurubahasa Urdu.

Noor Aini juga tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fazliyana Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Menurut laporan media sebelum ini, bapa mangsa membuat laporan polis selepas anak bongsunya itu menceritakan kejadian dia didatangi suspek di taman permainan kira-kira jam 2 petang dan kemudian membawa kanak-kanak itu ke rumah sewanya sebelum melakukan perbuatan amang seksual terbabit secara paksa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top