bhnews@bh.com.my
KOTA BHARU: “Alhamdulillah, selepas raya (Aidilfitri) nanti, kami bertiga dapat pindah ke rumah baharu,” kata Abi Maziri Abu Bakar.
Abi Maziri, 38, yang sekarang menetap bersama ibu, Marizan Mat Zain, 55, serta adiknya, Amir Musryidan, 31, di rumah pusaka yang menunggu masa untuk rebah ke bumi tidak sabar menantikan rumah baharu mereka untuk siap.
Rumah sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) itu diluluskan awal tahun ini dengan kos sebanyak RM48,000 dan masih dalam pembinaan.
Seakan tidak sabar untuk berpindah ke rumah yang didirikan bersebelahan kediaman sekarang, Abi Maziri yang tidak berkahwin kerana menjaga ibu yang menghidap skizofrenia serta adik dalam kategori orang kurang upaya (OKU) mental akibat kemalangan jalan raya mampu menarik nafas lega kerana mereka bertiga sudah tidak perlu ‘berwaspada’ dalam rumah lagi selepas ini.
“Rumah pusaka sekarang sudah terlalu uzur disebabkan banyak kayu dimakan anai-anai di bahagian dinding dan lantai.
“Daripada tiga bilik, hanya sebuah boleh digunakan yang kini dihuni adik manakala saya dan emak tidur di tengah ruang tamu kerana sebahagian besar ruang itu sudah berlubang lantainya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Setang, Beta Hulu di sini, baru-baru ini.
Kisah Abi Maziri bersama ibu serta adiknya yang tinggal di rumah uzur dan hampir menyembah bumi pernah disiarkan sebelum ini dan Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) yang turut menziarah ketika itu membantu membuat permohonan kepada MAIK sebelum ia diluluskan tidak lama kemudian.
Abi Maziri berkata, mereka tidak termimpi untuk mendapat rumah baharu yang jauh lebih selesa kerana pernah beberapa kali membuat permohonan kepada pihak berwajib dan tidak mendapat sebarang jawapan.
Dia yang hanya mengambil upah menggaul simen berkata, dengan pendapatan yang diterima tidak seberapa dan tidak menentu, agak mustahil untuk dia membaik pulih rumah pusaka terbabit.
“Selain dimasuki ular, rumah kami juga dua kali dipecah masuk pencuri yang mungkin masuk melalui lubang lantai sebelum mencuri dua tong gas di dapur.
“Saya pernah bekerja di gerai burger di lokasi agak jauh dari rumah tetapi hanya sempat beberapa hari sahaja kerana emak dan adik berdepan masalah jika ditinggal dalam tempoh lama menyebabkan saya hanya mampu bekerja sekitar rumah sahaja.
“Adik menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan manakala emak juga mendapat pencen ilat dalam amaun sama kerana pernah bekerja di Jabatan Veterinar sebelum mengambil keputusan berpencen awal iaitu kira-kira 20 tahun lalu akibat menghidap skizofrenia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd