Kuala Lumpur: Buruh warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan memandu kereta secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang pejalan kaki, minggu lalu.
Atique Zaman, 39, didakwa memandu kereta jenis Nissan Sylphy berwarna hitam secara melulu sehingga menyebabkan kematian Muhammad Redzuan Jamal, 46, di Jalan Ipoh (berhadapan Masjid Abu Hurairah Kampung Batu) dari arah Sentul menghala Jinjang di sini pada 11.49 pagi, 13 Jun lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak melebihi RM50,000, selain hilang kelayakan memegang dan mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Adiba Iman Hassan tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh bukan warganegara Malaysia, namun sekiranya mahkamah membenarkan ikat jamin, pihaknya mencadangkan jumlah jaminan tidak kurang RM20,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia.
Peguam Muhammad Affendy Mohd Yusop yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana anak guamnya berpendapatan RM1,800 sebulan dan perlu menanggung isteri serta dan seorang anak berumur setahun, selain mengalami kecederaan parah termasuk patah tulang rusuk akibat insiden itu.
Majistret Khairunnisak Hassni membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia, berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, dilarang mengganggu keluarga mangsa dan saksi pendakwaan serta lesen digantung sementara sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 11 Ogos ini untuk sebutan kes.
© New Straits Times Press (M) Bhd