Busana tradisi, paluan kompang, gendang iringi pemimpin dunia ke Sidang Kemuncak ASEAN

Busana tradisi, paluan kompang, gendang iringi pemimpin dunia ke Sidang Kemuncak ASEAN

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sambutan pemimpin antarabangsa di pintu masuk Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) disambut meriah dengan barisan artis persembahan tempatan yang lengkap memakai pelbagai busana tradisional rakyat Malaysia.

Rata-rata artis persembahan tempatan yang ditemui merasa berbangga dan tidak menyangka terpilih untuk berada di barisan paling hadapan untuk menyambut ketibaan pelbagai pemimpin dunia di lokasi itu.

Antara artis persembahan terbabit, Azril Ali, 37 berkata, Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 adalah kali pertama dia terbabit sebagai penyambut tetamu di pintu masuk KLCC dengan memakai pakaian tradisional masyarakat Sabah.

“Rasa teruja dan berdebar apabila mendapat tahu saya antara artis persembahan yang terpilih untuk menyambut ketibaan pemimpin antarabangsa.

“Walaupun seawal jam 6 pagi sudah berada di pintu masuk, saya merasa amat berbaloi kerana dapat melihat dengan dekat pemimpin utama dunia yang biasanya hanya dapat dilihat di kaca televisyen atau menerusi media sahaja,” katanya.

Bagi Jessica J Kennedy, 22, yang lengkap berbusana India mengakui merasa amat berbangga mengalas tugasan sebagai penyambut tetamu bersama rakan-rakan artis persembahan yang lain.

Katanya, walaupun perlu bangun seawal jam 4 pagi untuk bersiap dan bersedia di pintu masuk KLCC pada jam 7 pagi dan persediaan ini cukup berbaloi.

“Apatah lagi kita semua dapat menyambut dengan pakaian tradisional yang mewakili masyarakat majmuk di Malaysia, ia mampu menunjukkan keistimewaan kepelbagaian kaum yang ada di Malaysia.

“Selain itu, dapat bertentang mata dengan beberapa pemimpin antarabangsa yang begitu mesra menjadikan pengalaman ini cukup bermakna untuk saya,” katanya.

Ketika ketibaan pemimpin antarabangsa, paluan kompang dan gendang cina turut bergema menjadi latar bagi menyambut kehadiran barisan tetamu penting persidangan itu.

Salah seorang pemain kompang, Muhammad Amir Saifuddin Zazeli, 17, berkata, dia bersama kumpulan kompangnya mengalunkan pelbagai jenis rentak paluan antaranya pembukaan dan silat.

“Kami membuat paluan kompang selama 30 minit bagi mengiring kemasukan kenderaan pasukan pemimpin antarabangsa ke pintu masuk KLCC.

“Memang rasa berdebar tetapi tetap bersemangat untuk menunjukkan keunikan alat muzik tradisional yang dimiliki Malaysia ke mata pemimpin antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, persembahan gendang cina juga tidak ketinggalan mengiringi ketibaan tetamu kehormat yang dimainkan oleh Kumpulan Gendang 24 Musim 1Malaysia.

Pemain gendang, Vincent Yap Li Bin, 22 berkata, seawal jam 5 pagi dia bersama ahli kumpulan yang lain sudah bersedia di pintu masuk KLCC untuk menyambut kehadiran pemimpin antarabangsa.

“Rasa bangga, gementar dan gembira, semuanya bercampur aduk, namun saya rasa amat puas apabila dapat memberikan satu persembahan terbaik untuk mencerminkan keunikan budaya yang ada di Malaysia ke mata dunia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top