Cabar diri di Kazakhstan

Cabar diri di Kazakhstan

razis@mediaprima.com.my

Bagi Umi Faseha Kosnon, melancong bukan sekadar bersiar-siar di kota moden atau bergambar di mercu tanda popular. Sebaliknya, dia mencari pengalaman yang meninggalkan kesan mendalam, meskipun penuh cabaran.

Atas alasan itu, dia memilih untuk mengembara ke beberapa lokasi menarik di Taman Negara Katon-Karagay, Kazakhstan bersama seorang rakan.

Sebenarnya, pada mulanya mereka berhasrat ke Uzbekistan berbanding Kazakhstan yang menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia.

Namun selepas membuat carian Internet, hatinya lebih tertarik kepada landskap semula jadi di Taman Negara Katon-Karagay yang memukau.

Taman Negara Katon-Karagay terletak di kawasan pergunungan Altai, yang merentasi Kazakhstan, Mongolia, Rusia dan China.

Keindahan gunung-ganang, padang bunga liar serta glasier menjadikan kawasan ini antara permata tersembunyi di negara Asia Tengah itu.

Walaupun tidak mempunyai banyak maklumat berkenaan lokasi itu, mereka nekad mencabar diri dengan keluar daripada zon selesa ke lokasi penuh halangan itu untuk menjadikan pengembaraan ini lebih menarik.

Pengembaraan mereka bermula dari Almaty dengan menempuh jalan darat sehingga 14 jam ke bandar kecil Oskemen.

“Sebenarnya terdapat perkhidmatan penerbangan domestik yang lebih cepat, namun kami memilih laluan darat kerana mahu menikmati pemandangan sepanjang perjalanan,” katanya.

Bagi merasai pengalaman sebenar kehidupan tempatan, mereka memilih menginap di perkampungan Berel bersama penduduk setempat bagi menyelami budaya masyarakat di situ.

Katanya, kebanyakan masa mereka menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi kerana masyarakat di sini berbahasa Kazakh atau Rusia.

“Di sini kami dapat melihat kehidupan penduduk serba sederhana. Rumah kecil tanpa bilik air moden, hanya paip luar yang disambung dari sungai.

“Penduduk kampung pula tenang dan pendiam. Mereka bukan jenis banyak bercakap, wajah sering serius, namun tetap ramah apabila disapa.

“Mereka minum teh panas hampir sepanjang masa termasuk ketika cuaca panas dan makanan harian terdiri daripada roti, keju buatan sendiri, tomato, timun serta dumpling daging,” katanya.

Mereka kemudian dibawa melawat ke Tasik Rakhmanovskie dan perlu menempuh perjalanan selama dua jam melalui jalan berbatu dan berliku.

“Di sini kami disajikan pemandangan Sungai Bukhtarma berwarna putih susu serta latar belakang glasier di puncak gunung seperti berada di dunia lain.

“Saya difahamkan destinasi itu baru sahaja popular dalam kalangan penduduk tempatan dan belum sesak dengan pelancong asing. Suasana di sana memberi peluang untuk menikmati keindahan alam dengan lebih tenang tanpa hiruk-pikuk manusia,” katanya.

Kemudian pengembaraan diteruskan ke Tasik Yazovoye di kawasan hutan dengan menempuh laluan yang dipenuhi batu besar, sempit dan tidak berturap.

“Perjalanan hampir dua jam membawa kami ke sebuah rumah kabin untuk bermalam sebelum memulakan perjalanan yang lebih mencabar pada keesokan hari iaitu kembara berkuda ke Kamen Rerikh,” katanya.

Umi Faseha berkata perjalanan ke Kamen Rerikha bermula seawal jam 9 pagi dengan masing-masing menunggang kuda yang diketuai jurupandu, Merikat.

“Sepanjang perjalanan, kami merentasi padang bunga, bukit, sungai berarus deras dan hutan jarang.

“Kami juga membawa pasport kerana perlu melintasi kawasan sempadan Rusia yang dikawal pihak berkuasa,” katanya.

Katanya, di sebalik perjalanan yang amat menguji kekuatan fizikal dan mental, mereka dihidangkan dengan hamparan padang bunga berwarna-warni yang sedikit sebanyak memberi semangat untuk meneruskan pengembaraan ini.

“Selepas lapan jam perjalanan, kami berjaya tiba Kamen Rerikha yang menghidang pemandangan puncak Gunung Belukha yang mengagumkan. Di sini, segala kepenatan hilang begitu sahaja apabila disambut panorama matahari terbenam di Gunung Belukha yang cukup menakjubkan.

“Sinar jingga keemasan yang memancar di ufuk barat menyaluti glasier putih, mencipta suasana seperti lukisan alam yang sukar ditandingi.

“Ini antara pemandangan paling indah yang pernah dilihat seumur hidup saya yang akan menjadi kenangan tidak akan dilupakan,” katanya.

Secara keseluruhan, Umi Faseha mengakui pengembaraan ke Taman Negara Katon-Karagay menuntut ketahanan fizikal dan mental.

“Sekiranya anda berhasrat ke sini, jangan harap keselesaan seperti hotel lima bintang. Ini perjalanan untuk orang yang mahukan cabaran.

“Namun, setiap kepayahan itu berbaloi apabila dapat melihat sisi Kazakhstan yang jarang diterokai pelancong biasa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top