Kuala Lumpur: Cabaran beregu lelaki Malaysia pada kempen Jelajah Dunia Akhir 2025 berakhir apabila tiada wakil negara berjaya melepasi saingan peringkat kumpulan di Hangzhou, China.
Dua pasangan negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta Man Wei Chong-Tee Kai Wun, gagal menempatkan diri dalam kelompok dua terbaik kumpulan masing-masing selepas hanya meraih satu kemenangan daripada tiga perlawanan yang diharungi.
Harapan terakhir negara berkecai apabila Aaron-Wooi Yik, selaku pilihan kedua kejohanan, tunduk kepada gandingan India, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy, 21-17, 18-21, 15-21 dalam aksi penentuan Kumpulan B, hari ini.
Kekalahan itu sekali gus memadam impian bekas juara dunia berkenaan untuk melangkah ke separuh akhir kejohanan penutup musim berkenaan, apabila mereka menamatkan saingan di kedudukan ketiga kumpulan.
Shetty-Rankireddy muncul juara Kumpulan B selepas menang ketiga-tiga perlawanan, manakala beregu tuan rumah Liang Wei Keng-Wang Chang mengiringi mereka ke separuh akhir selaku naib juara.
Sementara itu, nasib serupa menimpa Wei Chong-Kai Wun yang turut tersingkir selepas tewas kepada pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, dalam pertarungan sengit selama lebih sejam.
Beregu pilihan keempat kejohanan itu berjuang hingga ke set penentuan sebelum akur tewas 23-25, 21-14, 19-21, sekali gus menamatkan saingan Kumpulan A di tempat ketiga.
Won Ho-Seung Jae mara ke separuh akhir sebagai juara kumpulan selepas mencatat tiga kemenangan, diiringi pasangan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani, sebagai naib juara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




