mahaizura@mediaprima.com.my
BEKERJA di ruang sempit dalam kapal selam sambil menyediakan makanan untuk 55 kru tanpa pembantu bukan tugas yang mampu dilakukan semua orang.
Namun, cabaran itu pernah menjadi rutin harian cef kapal selam terawal negara, Azhar Roppiee, 49, selepas berjaya melepasi pemilihan ketat yang hanya memilih dua calon daripada 20 pemohon.
Anak kelahiran Felda Sungai Tiang, Pendang, Kedah itu tidak pernah membayangkan kerjayanya itu akan membawanya merentasi lautan dan benua.
Sepanjang lebih dua dekad berkhidmat, Azhar bukan sahaja membina kerjaya dalam bidang kulinari ketenteraan, malah turut mengikuti latihan serta memperoleh kepakaran dalam payung terjun, pengurusan bekalan dan kapal selam.
Walaupun minat asalnya cenderung kepada bidang perguruan, takdir membawanya ke dunia kulinari apabila menyertai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 1996.
Ketika berusia 19 tahun, dia menjalani latihan rekrut di Woodlands, Singapura sebelum mengikuti latihan kepakaran bendari atau tukang masak di Pangkalan TLDM Lumut daripada 1996 hingga 1997.
Kemudian, Azhar mengikuti kursus asas payung terjun di Kem Sungai Udang, Melaka pada 2002 sebelum dipilih menyertai program kapal selam yang menjadi antara cabaran terbesar dalam hidupnya.
Menurut Azhar, proses pemilihan anggota kapal selam bukan sesuatu yang mudah kerana hanya individu benar-benar layak akan dipilih.
“Daripada 20 cef yang memohon ketika itu, hanya dua orang sahaja yang berjaya melepasi semua saringan termasuk saya.
“Proses pemilihan mengambil masa hampir lima tahun sebelum saya ditawarkan menjalani latihan kapal selam di Brest, Perancis pada 2005,” katanya.
Selama empat tahun berada di Perancis, Azhar berdepan pelbagai cabaran termasuk perbezaan bahasa dan cuaca yang jauh lebih sejuk berbanding Malaysia.
“Saya perlu mempelajari bahasa Perancis serta menyesuaikan diri dengan latihan ketat kerana setiap minggu ada ujian yang perlu dilalui.
“Jika gagal, peserta boleh dihantar pulang. Syukur saya berjaya melepasi semua ujian sehingga tamat latihan pada 2009,” katanya.
Sebaik kembali ke tanah air, Azhar menjadi antara ‘submariner’ terawal negara yang ditempatkan di Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar, Sabah.
“Sebagai cef kapal selam, tugas saya jauh lebih mencabar berbanding tukang masak biasa kerana perlu menyediakan makanan seorang diri untuk 55 kru.
“Setiap hari, saya perlu menyediakan lima hidangan iaitu sarapan, makan tengah hari, minum petang, makan malam dan ‘supper’ bermula seawal jam 4 pagi sehingga jam 10 malam,” katanya.
Dalam ruang dapur sempit dan panas, Azhar perlu memastikan setiap hidangan berkualiti kerana makanan memainkan peranan penting dalam menjaga semangat serta moral kru yang bertugas berbulan-bulan di bawah permukaan laut.
“Sebagai cef kapal selam, saya bekerja dalam ruang sempit, panas dan keadaan yang tidak sentiasa stabil. Masa rehat pula tidak banyak, jadi saya perlu bekerja dengan pantas dan cekap.
“Saya juga perlu memastikan setiap hidangan disediakan berkualiti kerana makanan menjadi antara penyumbang utama moral kru memandangkan kami bekerja di bawah permukaan dan ruang untuk melakukan aktiviti lain sangat terhad,” katanya.
Sepanjang perkhidmatannya, Azhar pernah bertugas di beberapa kapal TLDM termasuk Kapal Diraja (KD) Hang Tuah, KD Rahmat, KD Pendekar dan KD Tunku Abdul Rahman selain berkhidmat di beberapa pangkalan utama TLDM.
Dia turut pernah bertugas di Rumah Masak D20, Pangkalan Komunikasi Sungai Wangi, Wisma Bintara serta Markas Angkatan Kapal Selam yang memberinya pengalaman luas dalam pengurusan makanan dan logistik ketenteraan.
Bagi Azhar, pengalaman berkhidmat dalam pasukan kapal selam memberi kepuasan tersendiri kerana dapat menyumbang kepada keselamatan perairan negara serta memastikan rakyat Malaysia hidup dalam keadaan aman dan selamat.
Azhar menyifatkan, kejayaan menamatkan latihan kapal selam di Perancis serta memperoleh kepakaran sebagai tukang masak TLDM dan payung terjun sebagai antara pencapaian paling bermakna sepanjang perkhidmatannya.
Selepas menamatkan perkhidmatan, Azhar tidak mensia-siakan pengalaman hampir tiga dekad dalam kulinari apabila memilih mengusahakan perniagaan nasi lemak dan nasi kandar di Kota Kinabalu, Sabah.
Azhar turut menasihati generasi muda yang berminat menjadi cef atau kru kapal selam supaya sentiasa menjaga kesihatan fizikal dan mental, memiliki tahap kesabaran dan disiplin tinggi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




