Cabaran getir bakal menanti Pang Ron-Su Yin

Cabaran getir bakal menanti Pang Ron-Su Yin

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin meneruskan perjuangan ke pusingan kedua Masters China selepas menang straight set ke atas wakil Taiwan, Liu Kuang Heng-Jheng Yu Chieh, hari ini.

Pada aksi pusingan pertama itu, Pang Ron-Su Yin tidak berdepan masalah besar dan hanya memerlukan 31 minit untuk menang 21-17, 21-12.

Beregu muda negara yang sedang meningkat naik itu bakal berdepan laluan getir apabila akan bertemu gandingan nombor dua dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin yang turut layak selepas menewaskan wakil profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing 21-18, 21-11 dalam masa 40 minit.

Ini akan menjadi pertemuan kali ketiga buat kedua-dua beregu tahun ini di mana kesemua kemenangan memihak kepada pasangan China itu.

Kali terakhir Pang Ron-Su Yin bertemu Zhen Bang-Ya Xin adalah di Terbuka Denmark pada Oktober lalu dan mereka tewas dalam pertarungan tiga set.

Jika beregu muda itu berada pada prestasi terbaik mereka, tidak mustahil kejutan boleh dilakukan.

Sementara itu, satu lagi beregu campuran negara, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien juga mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya selepas menang ke atas wakil Algeria, Koceila Mammeri-Tanina Violette Mammeri straight set 21-15, 21-13 dalam masa 30 minit.

Mereka bakal berdepan pilihan ketiga dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet yang berjaya menyingkirkan beregu dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran 21-13, 17-21, 21-17.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top