Cabaran watak berbeza

Cabaran watak berbeza

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Selepas dikenali menerusi watak-watak romantik dan aksi, pelakon Aedy Ashraf tampil dengan sisi berbeza dalam filem terbarunya, Klepet yang bakal menjengah pawagam pada 27 November ini.

Filem arahan Indra Putra atau Sanji itu bukan sekadar menonjolkan kelainan dari segi genre dan gaya lakonan, tetapi turut memperlihatkan kematangan Aedy sebagai pelakon.

“Watak saya dalam filem ini sebagai Pali. Ia mengisahkan mengenai tiga sahabat dalam usia muda dan bercita-cita tinggi, namun tak tahu bagaimana nak menggapai impian mereka.

“Saya percaya ramai remaja juga menghadapi hal yang sama yang mana, mereka mempunyai impian besar, tetapi belum tahu cara untuk mencapainya.

“Mesej utama yang cuba disampaikan dalam filem ini ialah, jika kita tidak tahu bagaimana hendak mencapai impian, kita akan berdepan banyak halangan, dan halangan itu boleh menjauhkan kita daripada impian itu,” katanya.

Uniknya, watak Pali sedikit istimewa dan pada masa sama, mencabar Aedy kerana perlu bertutur dalam gaya pelat.

“Watak Pali sendiri mempunyai keunikan kerana dia seorang yang sedikit pelat dalam pertuturannya. Tapi sebenarnya, pelat itulah yang menggerakkan jalan cerita utama filem ini.

“Saya tak boleh dedahkan, tapi boleh saya katakan bahawa kelemahan pertuturan Pali yang mencetuskan konflik besar sejak awal cerita,” katanya.

Menariknya, dia dan pelakon-pelakon lain seperti Meerqeen serta Nadhir Nasar menjayakan watak mereka secara bersahaja dan semula jadi.

“Kami banyak mengimbas zaman kanak-kanak untuk menjiwai watak masing-masing. Kami cuba salurkan semangat bebas dan polos waktu kecil ke dalam lakonan kami. Ia sangat menyeronokkan.

“Bekerja dengan Sanji pula adalah pengalaman pertama saya. Dia mempunyai personaliti yang sangat menarik dan penuh imaginasi.

“Sebagai pengarah, dia mahu filem ini tampil penuh warna dan bertenaga, bukan sahaja dari segi visual, tetapi juga dari segi karakter.

“Saya percaya, di dalam diri Sanji sebenarnya ada sisi kanak-kanak yang akhirnya dia keluarkan melalui filem ini. Arahan dia jelas, dan kami semua mudah faham hala tuju yang diinginkan,” katanya.

Komedi bukanlah genre yang sinonim dengan Aedy, namun ia adalah cabaran yang menambah warna dalam lakonannya.

“Ini kali pertama saya berlakon dalam filem komedi sepenuhnya, jadi memang mencabar. Secara peribadi, saya bukanlah seorang yang kelakar, tapi saya suka menonton dan ketawa dengan benda-benda lucu.

“Dalam filem ini, saya bukan membawa watak yang melawak, tetapi lawak datang secara semula jadi daripada karakter dan jalan cerita itu sendiri.

“Saya rasa sebab itu juga pengarah tidak memilih pelawak profesional untuk watak utama, sebaliknya memilih kami bertiga, pelakon yang biasanya dianggap serius.

“Itu yang menjadikan proses ini menyeronokkan kerana kami dapat meneroka sisi lain diri kami sebagai pelakon,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top