
Zii Jia – Foto Facebook BAM
HASRAT jaguh perseorangan nombor satu negara, Lee Zii Jia untuk melangkah lebih jauh di Kejohanan Badminton Dunia tidak kesampaian apabila tewas kepada pemain sensasi China, Zhao Jun Peng di pusingan ketiga, pada Khamis.
Dalam aksi selama satu jam lima minit di Gimnasium Metropolitan Tokyo pada Khamis, Zii Jia yang juga pilihan kelima kejohanan tewas 19-21, 21-11, 19-21 kepada pemain nombor 23 dunia itu.
Set pertama menyaksikan Zii Jia yang juga pemain ranking kelima dunia ketika ini bergelut bagi menyaingi ketangkasan Jun Peng hingga tewas 19-21.
Bagaimanapun, beliau mempamerkan kebangkitan pada set kedua dengan memperkemaskan permainannya sebelum berjaya menewaskan Jun Peng, 21-11 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.
Kedua-dua pemain kemudiannya dilihat bertarung sengit pada set penentuan apabila saling berkejaran mata bagi menamatkan perlawanan.
Namun, kesilapan Zii Jia menyaksikannya tewas 19-21 sekali gus gagal mara ke suku akhir Kejohanan Dunia kali ini.




