fahmy.azril@bh.com.my
KUALA LUMPUR: The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) dan Media Prima Omnia (OMNIA) akan mengadakan sesi pengumuman hadiah membabitkan dua pemenang bertuah yang hadir di Pameran Hartanah MyRumah serta seminar NSTP NewsConnect yang masing-masing dianjurkan pada 2019.
Sesi akan berlangsung di Balai Berita Bangsar, pada jam 3 petang ini hari ini, tanpa kehadiran dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN)
Hadiah utama berupa sebuah kereta Nissan Almera 1.5L VL bagi pengunjung MyRumah2019 dan Nissan X-Trail 2.5L bagi yang hadir di NewsConnect 2019. Kedua-dua kenderaan itu ditaja Edaran Tan Chong Motor (ETCM).
Dalam satu kenyataan hari ini, untuk MyRumah, cabutan akan dilakukan oleh Ketua Pengarang Kumpulan, Lokman Mansor manakala, cabutan membabitkan NewConnect akan dilakukan oleh Ketua Pegawai Eksekutif OMNIA, Datuk Michael Chan.
Di pihak NSTP dan OMNIA komited menghargai kehadiran pengunjung dan pelanggannya meskipun lebih setahun kedua-dua acara itu sudah berlangsung dan tertangguh ekoran penularan wabak pandemik COVID-19.
Menurut Lokman, cabutan bertuah ini membuktikan komitmen syarikat buat pengunjung yang hadir di jelajah MyRumah 2019 yang menyediakan platform kepada mereka mencari kediaman pertama, perkhidmatan perumahan dan pelbagai lagi.
Sementara itu, Michael berkata pihaknya menzahirkan penghargaan kepada mereka yang hadir memberi sokongan terhadap acara yang dianjurkan.
“Bagi NewsConnect pula, kami amat menghargai usaha mereka untuk membolehkan kami membantu mereka dalam meningkatkan kuasa pemasaran dan pengiklanan kepada perniagaan mereka.
“Kedua-dua acara ini banyak menguntungkan semua pihak,” katanya.
Mengulas lanjut, Michael berkata penganjuran dua acara itu bukti jenama NSTP dan Media Prima tetap utuh di minda masyarakat termasuk dalam kalangan organisasi.
Katanya, mereka yang hadir di dua acara itu membuktikan ia platform relevan dan banyak membantu dari segi pemasaran, pemilikan dan perkhidmatan.
Sesi cabutan bertuah ini, katanya sudah tentu menjadi kayu pengukur kepada kredibiliti pihaknya terhadap mereka.
Dalam menjayakan acara berkenaan, beliau menghargai kerjasama dan tajaan daripada pihak ETCM atas sokongan mereka selama ini.
“Mereka yang bakal memenangi kereta ini akan tersenyum gembira kerana model yang diketengahkan adalah antara yang popular ketika ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




