Cadang saringan kesihatan mata bagi orientasi murid tahun satu

Cadang saringan kesihatan mata bagi orientasi murid tahun satu

KUALA LUMPUR: Terdapat keperluan untuk saringan kesihatan mata dijadikan sebagai komponen tetap dalam orientasi murid tahun satu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, perkara itu selepas dapatan yang diperoleh daripada pemeriksaan mata yang dijalankan, sebanyak 55 peratus kanak-kanak daripada 2008 murid mempunyai masalah penglihatan. 

Daripada jumlah tersebut, jelas Zaliha, 88 peratus daripadanya rabun, empat peratus rabun warna dan lapan peratus mengalami masalah juling.

“Dalam satu kajian yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia melalui program Amblyopia and Visual Impairment Screening atau AVIS pada tahun 2023 mendapati hampir 30 peratus daripada kanak-kanak pra sekolah di Malaysia mengalami masalah penglihatan. 

“Apa yang lebih membimbangkan lagi adalah, mereka tidak sedar akan perkara tersebut. Kesannya, jika mengikut laporan World Report on Vision yang dikeluarkan oleh WHO, kanak-kanak ini mungkin mempunyai tahap pencapaian akademik dan tahap keyakinan diri yang lebih rendah berbanding rakan sebaya mereka yang mempunyai penglihatan normal. 

“Kemungkinan yang lebih besar lagi, gangguan penglihatan ini mungkin boleh menyebabkan kelewatan anak-anak ini dalam perkembangan motor, kognitif dan bahasa yang berkemungkinan berkekalan sepanjang hayat,” katanya pada Program Mata Hati Wilayah 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK)  Sri Bintang Utara di sini hari ini. 

Katanya, Program Mata Hati Wilayah telah dilancarkan sejak tahun lalu sebagai usaha bagi menangani masalah kesihatan mata di kalangan kanak-kanak sekolah rendah.

“Program ini adalah program yang melibatkan beberapa rakan strategik termasuk Kementerian Pendidikan (KPM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Yayasan Komuniti Negara (YKN). Jadi kita libatkan beberapa rakan strategik.

“Ia supaya program ini pada masa akan datang KPM akan mengambil ia sebagai satu inisiatif yang mungkin kita boleh ambil intervensi awal di mana anak-anak di tahun satu boleh lakukan saringan ketika mana mereka mendaftar di sekolah,” katanya.

Menurutnya, program berkenaan dibiayai Jabatan Wilayah Persekutuan dengan 500 pemberian cermin mata iaitu 100 cermin mata bagi setiap sekolah. – UTUSAN

Scroll to Top