SERDANG – Cadangan supaya audit forensik dijalankan terhadap pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) akan dibawa ke mesyuarat Kabinet untuk dibincangkan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kita akan bawa (perkara ini) ke (mesyuarat) Kabinet (untuk) dibincangkan,” katanya ringkas kepada media selepas menghadiri Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini pada Selasa.
Anwar berkata demikian ketika ditanya mengenai saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya audit forensik dijalankan bagi mengenal pasti sama ada berlaku penyalahgunaan kuasa, pecah amanah atau pelanggaran tatakelola dalam pengurusan FELDA.
Pada 23 Ogos, Ahmad Zahid berkata, audit pengurusan sahaja tidak memadai memandangkan isu melibatkan agensi itu telah berlarutan sejak sekian lama dan mengakibatkan kerugian mencecah berbilion ringgit.
Sebelum ini, Anwar berkata, beliau akan menunggu laporan lengkap pasukan petugas khas yang menyiasat isu pengurusan FELDA sebelum membuat sebarang pengumuman rasmi.
Beliau berkata, pasukan itu telah memulakan tugas dan dapatan siasatan dijangka dibentangkan dalam masa terdekat sebelum didedahkan kepada umum sebagaimana laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH). – Bernama
