Cadangan tambang RTS Link dibentang suku ketiga tahun ini – Anthony Loke

Cadangan tambang RTS Link dibentang suku ketiga tahun ini – Anthony Loke

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Cadangan kadar tambang Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) antara Johor Bahru-Singapura dijangka dibentangkan kepada kerajaan Malaysia dan Singapura pada suku ketiga tahun ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, pengendali perkhidmatan itu, RTS Operations Pte Ltd (RTSO) akan mengemukakan cadangan kadar berkenaan untuk mendapatkan persetujuan kedua-dua pihak.

Menurutnya, pembentangan itu akan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di Malaysia dan Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) di Singapura sebelum harga tambang dimuktamadkan dan diumumkan kepada orang ramai.

“Kelulusan daripada kedua-dua kerajaan diperlukan sebelum sebarang pengumuman rasmi dibuat,” katanya selepas melawat tapak projek berkenaan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Chagar, di sini, hari ini.

Mengulas kemungkinan pengenalan pas bermusim, beliau berkata, kerajaan terbuka terhadap cadangan itu, namun ia perlu berdaya maju dari segi komersial.

Katanya, sebarang cadangan pas bermusim perlu dibincangkan bersama RTSO memandangkan perkhidmatan itu membabitkan perjalanan antarabangsa.

“Berdasarkan pengalaman, pas musim pengangkutan awam lazimnya membabitkan subsidi kerajaan. Kita akan meneliti bagaimana bantuan boleh diberikan kepada rakyat Malaysia.

“Bagaimanapun, kita tidak akan memberi subsidi kepada warga asing dan saya percaya Singapura juga akan mengambil pendekatan sama terhadap rakyatnya,” katanya.

Dalam pada itu, Loke berkata, perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Shuttle Tebrau dijangka ditamatkan enam bulan selepas operasi RTS Link bermula, selaras dengan perjanjian dua hala antara Malaysia dan Singapura.

“Walaupun Malaysia berharap perkhidmatan tren ulang-alik itu dapat diteruskan buat sementara waktu, keputusan akhir masih tertakluk kepada persetujuan Singapura.

“Berdasarkan perjanjian sedia ada, operasi Shuttle Tebrau perlu dihentikan dalam tempoh enam bulan selepas RTS Link mula beroperasi sepenuhnya,” katanya.

RTS Link merupakan sistem rel ulang-alik sepanjang kira-kira empat kilometer yang menghubungkan dua stesen iaitu Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands di Singapura yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada 1 Januari 2027.

Projek itu dijangka mampu membawa sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah ketika waktu puncak sekali gus menjadi penyelesaian utama kepada kesesakan di Tambak Johor.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top