Paris, Perancis: Senegal secara mengejut dilucutkan gelaran juara Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) apabila Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) mengisytiharkan Maghribi sebagai juara.
Beberapa pemain Senegal bertindak meninggalkan padang di Rabat pada 18 Januari sebagai protes selepas tuan rumah diberikan sepakan penalti pada penghujung masa kecederaan separuh masa kedua.
Selepas pemain Senegal kembali ke padang, Maghribi gagal menyempurnakan penalti tersebut dan Pape Gueye menjaringkan gol dalam masa tambahan untuk memberikan kemenangan 1-0 kepada negaranya dalam perlawanan akhir.
CAF menyatakan selepas meneliti rayuan Maghribi, ‘pasukan kebangsaan Senegal dianggap kalah tanpa bermain (forfeit)’ dan keputusan rasmi direkodkan sebagai kemenangan 3-0 memihak kepada Maghribi.
Jawatankuasa Rayuan CAF menjelaskan keputusan itu dibuat berdasarkan Artikel 82 dan 84 peraturan AFCON, yang menyatakan jika sesebuah pasukan ‘enggan bermain atau meninggalkan padang sebelum tamat perlawanan, ia akan dianggap kalah dan disingkirkan daripada pertandingan’.
Persekutuan Bola Sepak Diraja Maghribi (FRMF) dalam satu kenyataan berkata rayuan mereka bukan bertujuan mempertikaikan prestasi pasukan, tetapi hanya untuk memastikan peraturan pertandingan dilaksanakan.
“Mereka turut menegaskan komitmen untuk menghormati peraturan, kejelasan struktur pertandingan dan kestabilan bola sepak Afrika,” menurut kenyataan itu.
Beberapa minit sebelum tamat perlawanan, penyokong Senegal cuba menceroboh padang, manakala pemain Senegal menghentikan permainan hampir 20 minit sebagai bantahan terhadap penalti lewat yang diberikan kepada Maghribi.
Penalti kontroversi itu diberikan oleh pengadil dari Congo, Jean-Jacques Ndala, selepas semakan VAR terhadap kekasaran ke atas Brahim Diaz oleh El Hadji Malick Diouf.
Brahim Diaz berpeluang menghadiahkan kejuaraan kepada Maghribi menerusi sepakan penalti pada minit ke-24 masa kecederaan, namun percubaannya diselamatkan penjaga gol Senegal, Edouard Mendy, selepas cuba melakukan sepakan ‘Panenka’.
Perlawanan di Stadium Prince Moulay Abdellah kemudian berlanjutan ke masa tambahan sebelum jaringan cantik Pape Gueye pada minit ke-94 memberikan kemenangan kepada Senegal.
Keputusan Jawatankuasa Rayuan CAF boleh dirayu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan dalam tempoh 10 hari.
Pada akhir Januari lalu, CAF turut mengenakan beberapa tindakan disiplin termasuk denda ratusan ribu euro ke atas kedua-dua persatuan bola sepak atas kesalahan tidak berdisiplin dan melanggar prinsip permainan adil.
Perbicaraan rayuan melibatkan 18 penyokong Senegal yang dipenjarakan sejak final dan dijatuhi hukuman antara tiga bulan hingga setahun atas kesalahan “hooliganisme” ditangguhkan ke 30 Mac.
© New Straits Times Press (M) Bhd




