Cahaya bikin ruang selesa dihuni

Cahaya bikin ruang selesa dihuni

nurul_husna@hmetro.com.my

Pencahayaan antara elemen cukup penting dalam memastikan sesuatu ruang berfungsi dan selesa dihuni.

Pemilihan alat atau lampu bagi menerangi ruang selalunya bergantung kepada konsep serta motif tata hias ruang.

Seiring dengan perubahan gaya hidup masyarakat juga mempengaruhi cita rasa penggunaan lampu termasuklah lampu panel LED.

LED merujuk diod pemancar cahaya yang mana peranti elektronik kecil digunakan menukar tenaga elektrik kepada cahaya.

Tidak seperti mentol pijar tradisional, yang memanaskan filamen untuk menghasilkan cahaya, LED memancarkan cahaya menerusi proses dikenali ‘electroluminescence.’

Tanpa menggunakan haba untuk menghasilkan cahaya menunjukkan kecekapan tenaga dan menjadi pilihan buat kebanyakan pemilik kediaman mahu ke arah penjimatan tenaga.

Dulu penggunaan lampu panel LED lebih banyak membabitkan bangunan komersial atau pejabat.

Tapi kini penggunaan panel LED meluas menjadi penataan ruang dalam kediaman baik di siling, dinding atau perincian perabot.

Kelebihan penggunaan panel LED ialah antaranya boleh mencipta pencahayaan segenap ruang bukan sahaja terang malah sekata.

Namun, pemilik kediaman perlu meneliti beberapa aspek penting dalam memastikan penggunaan lampu panel LED memberi keajaiban pada ruang tertentu.

Sebelum pemasangan panel LED, dapatkan dulu reka bentuk sesuai supaya pemasangan lampu untuk pencahayaan ruang bertambah baik.

Dengan adanya pelan dan konsep untuk meletakkan panel LED, ia memastikan keberkesanan pencahayaan diingini mencakupi ruang dalam kediaman terbabit.

Contohnya penggunaan panel pada ruang bersaiz 5 meter X 5 meter berbeza dengan 10 meter X 9 meter.

Meskipun untuk watt, lumen dan saiz panel sama, lampu digunakan lebih banyak dalam memastikan pencahayaan mencukupi ruang itu.

Salah satu perkara perlu diambil kira bagi memastikan panel lampu LED dapat menyerlahkan pesona ruang adalah dari segi suhu warna.

Ini kerana pilihan kurang tepat boleh menjejaskan suasana keseluruhan ruang.

Kena pastikan warna lampu LED yang dipilih sepadan dengan fungsi bilik umpamanya. Putih sesuai untuk ruang sarat aktiviti atau ruang berkumpul contohnya ruang tamu.

Perkara kedua ialah kecerahan lampu LED. Merujuk kembali kepada fungsi ruang kawasan yang mungkin kawasan tumpuan atau ruang bekerja di rumah, pertimbangkan

panel LED dengan kiraan lumen yang lebih tinggi.

Sebagai alternatif, pertimbangkan panel LED yang kurang terang untuk bilik rehat dan tempat di mana ingin mencipta suasana yang lebih mesra seperti ruang tamu.

Saiz bilik, fungsi dan kesan pencahayaan yang diingini akan mempengaruhi susun atur panel LED anda.

Dalam reka bentuk lekapan, terdapat pelbagai jenis panel LED dan cara untuk memasangnya.

Andai mempunyai jarak yang cukup antara lantai dan siling, boleh pertimbangkan penggunaan panel LED gantung.

Jika siling ruang itu rendah, lampu panel LED dengan panel di ceruk siling atau penjuru boleh menjadi pilihan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top