Cahaya matahari saja tak cukup untuk kita

Cahaya matahari saja tak cukup untuk kita

asmaini@mediaprima.com.my

MESKIPUN Malaysia menerima cahaya matahari sepanjang tahun, kekurangan Vitamin D masih menjadi cabaran kesihatan meluas dan sering diabaikan di negara ini.

Kajian International Journal of Environmental Research and Public Health (2022) melaporkan 64 peratus rakyat Malaysia mempunyai paras Vitamin D tidak mencukupi manakala lebih 20 peratus pula alami kekurangan serius.

Golongan ibu mengandung juga antara paling berisiko.

Kajian mendapati sehingga 96 peratus wanita hamil mengalami kekurangan Vitamin D menjelang waktu bersalin.

Kekurangan itu bukan sahaja boleh melemahkan tulang, malah meningkatkan risiko patah dan jatuh dalam kalangan warga emas.

Ia juga berisiko menjejaskan imuniti, mempengaruhi emosi serta tenaga manakala dalam kehamilan ia dikaitkan dengan kencing manis ketika hamil, pra-eklampsia, kelahiran pramatang dan perkembangan tulang bayi yang terganggu.

Bagi menangani isu kesihatan berkenaan, rangkaian farmasi komuniti, Alpro Pharmacy melancarkan Projek 😀 dengan subsidi RM1.6 juta di seluruh negara.

Ia bertujuan menjadikan ujian dan pendidikan mengenai Vitamin D lebih mudah diakses rakyat Malaysia.

Inisiatif itu menyasarkan untuk menjalankan saringan terhadap 30,000 orang, meningkatkan kesedaran awam serta menyediakan kaunseling peribadi oleh ahli farmasi, doktor dan pakar diet.

Projek berkenaan akan bermula pada bulan ini dengan 30 cawangan perintis sebelum diperluaskan ke seluruh negara pada Oktober depan.

Kos saringan ditawar pada harga RM1 untuk kumpulan berisiko tinggi (warga emas, wanita hamil, ibu yang menyusukan bayi, serta individu yang kurang terdedah kepada cahaya matahari), dan RM15 untuk orang awam (harga asal RM35).

Setiap ujian turut disertakan dengan sesi kaunseling profesional dan pelan kesihatan yang disesuaikan.

Ketua Ahli Farmasi dan Pengarah Engagement Alpro Pharmacy, Lim En Ni berkata, kekurangan Vitamin D bukan sekadar isu nutrisi, tetapi cabaran kesihatan awam yang memberi kesan kepada imuniti, emosi, tenaga, malah meningkatkan risiko jatuh dalam kalangan warga emas.

Pihaknya percaya setiap rakyat Malaysia berhak mendapat akses kepada alat dan penjagaan kesihatan yang mereka perlukan untuk hidup lebih sihat dan bermakna.

“Projek 😀 adalah komitmen kami untuk melangkah bersama rakyat ke arah Malaysia yang lebih sihat dan bertenaga,” katanya.Bagi memperkukuh impak jangka panjang, rangkaian farmasi komuniti itu turut bekerjasama dengan Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ia untuk menjalankan penyelidikan mengenai peranan Vitamin D terhadap kesihatan ibu dan bayi serta kesannya terhadap penjagaan warga emas, khususnya dalam pencegahan daripada jatuh atau patah tulang.

Profesor Nutrisi dan Dietetik IMU yang juga Pengarah Institute of Research, Development and Innovation (IRDI), Profesor Winnie Chee berkata, penyelidikan dilakukan bukan hanya mengenai data semata-mata, sebaliknya ia juga mengenai manusia.

“Dengan memahami bagaimana Vitamin D membentuk kesihatan ibu, bayi, kanak-kanak, remaja dan warga emas, kita dapat menukar ilmu sains kepada tindakan.

“Melalui kerjasama ini kita melangkah ke arah meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, penyedia suplemen kesihatan, Powerlife tampil sebagai rakan utama dengan menyumbang 300 alat penganalisis Vitamin D berteknologi tinggi ke cawangan farmasi itu di seluruh negara.

Peranti mudah alih berkenaan dibangunkan Global Science, menggunakan teknologi fluoresen terkini untuk memberikan keputusan yang tepat dalam beberapa minit.

Ia sekali gus mengurangkan jurang antara ujian makmal yang mahal dan kit saringan pantas yang kurang tepat.

Sementara itu, selain saringan, Projek 😀 juga akan menganjurkan kempen pendidikan, ceramah komuniti dan program kesedaran bersama MyFalls.

Selain itu, ia bertujuan memberi tumpuan kepada pencegahan daripada jatuh dalam kalangan warga emas serta kepentingan Vitamin D untuk kesejahteraan seharian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top