LOS ANGELES: Selebriti antarabangsa, Caitlyn Jenner telah memfailkan tuntutan terhadap harta pusaka milik mendiang Sophia Hutchins, dengan mendakwa rakan serta pengurusnya itu berhutang sebanyak AS$439,095.88 (RM2.06 juta) sebelum kematiannya pada Julai lalu.
Menurut dokumen yang diperoleh E! News, tuntutan yang difailkan pada November tahun lalu itu telah diluluskan pada 27 Mac, sekali gus membolehkan jumlah berkenaan dibayar oleh pihak harta pusaka.
Jenner, 76, mendakwa Hutchins telah menggunakan kad kredit dan debit miliknya untuk pelbagai perbelanjaan termasuk pembelian perabot melebihi AS$250,000 (RM1.17 juta) serta transaksi melalui platform e-dagang seperti eBay dan Shopify.
Selain itu, Hutchins turut didakwa menerima pendahuluan tunai melebihi AS$7,000 (RM32,900) serta berkongsi kos guaman dengan Jenner, yang kini menuntut bayaran balik lebih AS$130,000 (RM610,000) bagi perbelanjaan tersebut.
Dokumen mahkamah turut menyatakan bahawa Hutchins sebelum ini bersetuju untuk melangsaikan hutang berkenaan pada masa hadapan dan telah membuat bayaran awal sebanyak AS$75,000 (RM352,000) bagi kos guaman.
Terdahulu, Jenner berkongsi kesedihan atas kehilangan rakan rapatnya itu yang disifatkan sebagai sukar untuk diterima.
“Sejak beberapa minggu lalu, saya berdepan dengan kehilangan ini dan ia amat sukar,” katanya ketika muncul dalam program FOX News @ Night.
Untuk rekod, hubungan persahabatan antara Jenner dan Hutchins terjalin lebih sedekad lalu sebelum Hutchins dilantik sebagai pengurus kepada personaliti televisyen tersebut.
Menurut laporan polis, Hutchins dilaporkan meninggal dunia di Malibu pada 2 Julai akibat kecederaan parah selepas kenderaan ATV yang dipandunya melanggar sebuah kereta sebelum terjatuh dari tebing.




