Caj elektrik, pusat data, impak jerebu antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Caj elektrik, pusat data, impak jerebu antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR – Isu kenaikan caj elektrik domestik, nilai tambah pelaburan pusat data, keselamatan pengangkutan udara dan kesan jerebu terhadap kesihatan awam antara perkara utama yang dijangka dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT), Azli Yusof (PH-Shah Alam) meminta penjelasan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air mengenai faktor kenaikan caj elektrik domestik serta jaminan Suruhanjaya Tenaga bahawa kira-kira 85 peratus isi rumah dilindungi daripada kesan pelarasan melalui Insentif Cekap Tenaga.

Datuk Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) bertanya mengenai penilaian Kementerian Belia dan Sukan terhadap penganjuran perlumbaan Formula 1 Grand Prix Bahrain 2026 di Litar Antarabangsa Sepang, termasuk keberkesanan penganjuran, kesiapsiagaan operasi, koordinasi pihak berkepentingan dan penambahbaikan.

Sementara itu, Datuk Dr Richard Rapu @ Aman Begri (GPS-Betong) meminta Menteri Pengangkutan menjelaskan rekod audit keselamatan, audit pemantauan dan pemeriksaan terakhir Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) terhadap operator helikopter 80-105 9M-LLF susulan nahas di Long Lellang.

Pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan pula, Rodziah Ismail (PH-Ampang) meminta penjelasan mekanisme mengukur nilai tambah bersih pelaburan pusat data selepas mengambil kira penggunaan sumber, insentif, tenaga kerja, kandungan tempatan dan kos peluang negara, susulan kelulusan pelaburan berjumlah RM385.7 bilion sejak 2021.

Cha Kee Chin (PH-Rasah) pula ingin mengetahui langkah Kementerian Kesihatan bagi menangani kesan jerebu terhadap kesihatan awam, termasuk kerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar dan agensi berkaitan dalam pemantauan kualiti udara, penyampaian amaran kesihatan serta perlindungan golongan berisiko.

Isu lain termasuklah soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) mengenai peningkatan penyalahgunaan dadah sintetik di Sarawak dan keberkesanan pendekatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) bertanya cadangan meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi menyenaraihitamkan syarikat dan pengimport yang mengulangi kesalahan berkaitan sisa elektronik haram.

Sementara itu, Datuk Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo) ingin mengetahui langkah-langkah memperkukuh kerangka perundangan dan dasar perpaduan negara dalam menangani isu sensitif berkaitan raja-raja, agama dan kaum (3R), termasuk cadangan penggubalan Akta Perpaduan Negara yang komprehensif.

Sidang Dewan Rakyat kemudian diteruskan dengan bacaan kali pertama Rang Undang-Undang Pengangkatan (Pindaan) 2026, diikuti perbahasan hari keempat Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027.

Persidangan Dewan Rakyat berlangsung selama 37 hari hingga 8 Disember. – Bernama

 

 

 

 

Scroll to Top