am@hmetro.com.my
Jerantut: Pengurusan Jambatan Kanopi Seberang Ara di Kuala Tahan di sini digesa mengkaji semula harga tiket yang didakwa terlalu tinggi sehingga berpotensi menjejaskan industri pelancongan setempat.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Rozilan Salleh, berkata caj RM70 seorang bagi melalui jambatan kanopi itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pengunjung, khususnya pelancong tempatan.
Selain tiket yang dianggap terlalu mahal, jumlah pengunjung turut dihadkan kepada hanya 350 orang sehari, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai rasional pelaksanaan pakej berkenaan.
“Ramai juga mempersoalkan keperluan mewajibkan setiap pengunjung menggunakan khidmat pemandu pelancong kerana ia menambah kos lawatan,” katanya ketika dihubungi.
Rozilan berkata, sebelum ini, pengunjung yang ingin ke jambatan Kanopi Bukit Teresek hanya dikenakan caj RM5 dan tidak perlu guna khidmat pemandu pelancong.
Sementara itu, pemandu pelancong Taman Negara, Sabri Abdullah, mempertahankan kadar caj berkenaan dengan menyifatkannya berpatutan kerana merangkumi beberapa komponen perkhidmatan selain mengutamakan aspek keselamatan pengunjung.
Katanya, caj RM70 itu meliputi tambang bot, permit, tiket masuk ke kanopi serta khidmat pemandu pelancong yang diwajibkan mengiringi pengunjung sepanjang perjalanan kira-kira 25 minit ke Kanopi Seberang Ara.
“Pengurusan melalui ejen dan pemandu pelancong dilaksanakan bagi memastikan keselamatan sentiasa terjamin. Bilangan pengunjung pula dihadkan kepada 350 orang sehari bagi menjaga kapasiti jambatan serta memberikan pengalaman yang lebih eksklusif,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




